Oleh : Ain Nadhirah Basha
Foto : Ezzatul Syafiqa Asmawai
LIPIS, 17 JUN 2026 : “Sempena Maal Hijrah ini, marilah kita berhijrah daripada prasangka kepada kepercayaan, daripada perpecahan kepada penyatuan, dan daripada kebencian kepada persaudaraan,” titah Kebawah Duli Paduka Baginda Sultan Pahang.
Kebawah Duli Paduka Baginda Sultan Pahang Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah Ibni Al-Marhum Sultan Haji Ahmad Shah bertitah bahawa bangsa yang bersatu akan dihormati manakala bangsa yang berpecah, akan mudah diperkotak-katikkan.
Paduka Baginda bertitah hijrah yang berlaku bukan sekadar kisah perpindahan Rasulullah SAW malah ia mengisahkan tentang kejayaan menyatukan masyarakat yang berpecah.
“Peristiwa hijrah yang kita hayati pada hari ini bukan sekadar kisah perpindahan Rasulullah SAW dari Mekah ke Madinah tetapi juga kisah bagaimana sebuah masyarakat yang berpecah berjaya disatukan atas dasar iman, persaudaraan, dan saling menghormati.
“Kekuatan umat Islam tidak pernah terletak pada jumlahnya semata-mata tetapi pada kesatuan hatinya. Sebatang lidi mudah dipatahkan namun apabila dihimpunkan menjadi seikat, ia menjadi kukuh dan sukar dileraikan.
“Begitulah hakikat sebuah ummah, apabila bersatu mereka menjadi kuat, tetapi apabila berpecah mereka menjadi mangsa kepada kelemahan sendiri,” titah baginda.
Paduka Baginda dalam titah turut menzahirkan cabaran terhadap perpaduan pada masa kini hadir dalam bentuk fitnah, kebencian, hasutan, dan perbalahan di media sosial dan sauran komunikasi yang ada.
“Perbezaan pandangan yang sepatutnya menjadi rahmat sering kali bertukar menjadi permusuhan, manakala perselisihan kecil diperbesar sehingga meretakkan hubungan sesama saudara.
“Lebih malang apabila ada pihak yang sanggup meniup api perpecahan demi kepentingan tertentu. Mereka menjadikan sentimen kaum, agama, dan politik sebagai alat untuk meraih sokongan, sedangkan yang menjadi mangsa akhirnya ialah rakyat dan masa depan negara. Bak kata pepatah, menang sorak kampung tergadai.
“Sesungguhnya perpaduan bukan bermaksud kita semua perlu berfikir dengan cara yang sama. Perpaduan ialah kemampuan untuk berbeza pandangan tanpa bermusuhan, menegur tanpa menghina, dan bersaing tanpa meruntuhkan antara satu sama lain,” titah baginda.
Paduka Baginda bertitah demikian ketika bercemar duli menyempurnakan Majlis Sambutan Maal Hijrah 1448 Hijrah Peringkat Negeri Pahang Darul Makmur di Laman Sejahtera Jelai, Sungai Koyan. -PAHANGMEDIA

