Oleh : Ain Nadhirah Basha
Foto : Ezzatul Syafiqa Asmawai
KUANTAN, 15 JUN 2026 : Pelajar tahfiz di negeri ini berpotensi menjadi pakar dalam pelbagai bidang strategik pada masa hadapan melalui asas pendidikan dan agama yang kukuh.
Kebawah Duli Paduka Baginda Sultan Pahang Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah Ibni Al-Marhum Sultan Haji Ahmad Shah bertitah Kerajaan Negeri Pahang akan terus komited dalam mengangkat martabat akademik Al-Quran di semua peringkat pendidikan.

“Saya yakin masa depan anak-anak tahfiz di Negeri Pahang amat cerah dan menjanjikan peluang yang lebih luas berbanding sebelum ini. Generasi huffaz hari ini bukan lagi hanya tertumpu kepada bidang keagamaan semata-mata, bahkan berpotensi menjadi pakar dalam pelbagai bidang strategik seperti perubatan, kejuruteraan, teknologi, kecerdasan buatan, ekonomi, dan kepimpinan negara.
“Dengan asas Al-Quran yang kukuh mereka mampu tampil sebagai pemimpin masa hadapan yang bukan sahaja cemerlang dari sudut profesionalisme, malah teguh pegangan agama, berakhlak mulia, dan mempunyai integriti yang tinggi.

“Kerajaan Negeri Pahang akan terus komited mengangkat martabat akademik Al-Quran di semua peringkat pendidikan, daripada tadika, sekolah, institusi tahfiz sehingga ke peringkat universiti, agar lahir lebih ramai ilmuan, profesional dan pemimpin berteraskan nilai-nilai Al-Quran demi agama, bangsa, dan negara,” titah baginda.
Paduka Baginda bertitah pendidikan bukan sekadar proses menimba ilmu tetapi merupakan medan membentuk insan berakhlak, berintegriti, berfikiran kritis, serta memiliki jati diri yang kukuh.

“Inilah tempatnya untuk melahirkan modal insan yang seimbang dalam aspek duniawi dan ukhrawi demi menyediakan bakal pemimpin negara pada masa hadapan.
“Dalam dunia yang semakin mencabar dan dipacu oleh kemajuan teknologi seperti kecerdasan buatan, automasi, dan ekonomi digital, generasi muda perlu melengkapkan diri dengan ilmu, kemahiran, dan daya saing global tanpa mengabaikan nilai adab dan akhlak.

“Saya yakin masa depan anak-anak tahfiz di Negeri Pahang amat cerah dan menjanjikan peluang yang lebih luas berbanding sebelum ini,” titah baginda.
Al-Sultan Abdullah turut menzahirkan rasa sukacita diatas pencapaian membanggakan Maahad Tahfiz Negeri Pahang yang berjaya mengekalkan prestasi di dalam peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2025 yang memperlihatkan keseimbangan diantara akademik dan agama para pelajar.

Paduka Baginda bertitah demikian pada Majlis Pengurnian Anugerah Kecemerlangan Maahad Tahfiz Negeri Pahang 2026 kepada 48 pelajar di Hotel Zenith.
Turut hadir, YAB Menteri Besar Pahang, Dato’ Sri Diraja Haji Wan Rosdy Wan Ismail; YB. Speaker Dewan Negeri Pahang, Dato’ Sri Mohd Sharkar Shamsuddin; dan Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Agama Islam, Kemajuan Desa dan Hal Ehwal Orang Asli Negeri Pahang, YB. Dato’ Sri Syed Ibrahim Syed Ahmad. -PAHANGMEDIA

