Oleh : Nur Saadah Artika
Foto : Farizul Hafiz Awang
KUANTAN, 15 JUN 2026 : Forum Intervensi Dasar Matlamat Pembangunan Mampan (SDG) Zon Pantai Timur menghimpunkan seramai 76 peserta terdiri daripada penggerak dasar, pentadbir daerah, ahli akademik dan pengamal SDG bagi memperkukuh pelaksanaan agenda pembangunan mampan di peringkat daerah.
Forum yang berlangsung selama dua hari di Hotel Grand DarulMakmur, di sini, merupakan hasil kerjasama Yayasan Hasanah dan All-Party Parliamentary Group Malaysia on Sustainable Development Goals (APPGM-SDG) serta telah dirasmikan oleh Timbalan Setiausaha Kerajaan Pahang (Pengurusan), YH Dato’ Ts. Gs. Dr. Mohd Zakaria Ibrahim.

Objektif forum tersebut adalah bertujuan untuk menyediakan ruang wacana dan pertukaran pendapat yang sihat antara tokoh pemikir, ahli akademik, pengamal SDG serta wakil agensi berkaitan dalam merangka penyelesaian terhadap isu-isu semasa masyarakat melalui pendekatan pembangunan mampan.
Selain itu, forum berkenaan turut berperanan mengukuhkan pendekatan pelbagai pihak berkepentingan bersama Pegawai Daerah dan Ketua Jajahan dalam merencana serta mengemudi proses pembangunan di daerah masing-masing.
Forum tersebut juga menjadi platform untuk menghimpunkan serta mendokumentasikan amalan terbaik kepimpinan Pegawai Daerah, Ketua Jajahan, Yang Dipertua Pihak Berkuasa Tempatan (PBT), Datuk Bandar dan pegawai berkaitan dalam aspek tadbir urus pembangunan daerah sebagai rujukan bersama.

Ketua Perhubungan Strategik Yayasan Hasanah, YBrs Puan Raja Nor Dianna Raja Harun dalam ucapan khasnya berkata, pembangunan mampan perlu memberi penekanan kepada keseimbangan antara kemajuan ekonomi, kelestarian alam sekitar dan kesejahteraan sosial bagi memastikan manfaatnya dapat dinikmati oleh generasi kini serta masa hadapan.
“Kita mahu melihat pembangunan yang mampu mewujudkan keseimbangan antara kemajuan ekonomi, kelestarian alam sekitar dan kesejahteraan sosial yang mempunyai manfaat generasi kini dan juga akan datang,” katanya.
Beliau turut menyeru para pembuat dasar, pegawai daerah dan bandar, Yang Dipertua PBT, ahli akademik serta rakan strategik yang hadir supaya menggunakan hasil perbincangan forum bagi menambah baik rancangan pembangunan dan strategi operasi agensi masing-masing.

“Saya menyeru kepada semua pembuat dasar, para pegawai daerah dan bandar, yang dipertua PBT, para akademian dan rakan simbol yang hadir untuk menggunakan data perbincangan ini untuk menyemak semua rancangan pembangunan dan strategi operasi agensi masing-masing,” katanya.
Forum turut diserikan dengan pameran daripada pelbagai agensi, pertubuhan dan komuniti yang mempromosikan inisiatif pembangunan mampan serta memperkukuh kesedaran mengenai pelaksanaan Matlamat Pembangunan Mampan (SDG).
Yayasan Hasanah bersama Kementerian Kewangan dan APPGM-SDG akan terus komited menyokong pelaksanaan inisiatif pembangunan mampan bagi memastikan matlamat Agenda 2030 dapat direalisasikan secara menyeluruh demi kesejahteraan rakyat. -PAHANGMEDIA

