Oleh : Syafiqah Jamaluddin
Foto : Farizul Hafiz Awang
KUANTAN, 14 JUN 2026 : Kerajaan Negeri Pahang komited menyokong pelbagai inisiatif kesihatan termasuk program pendermaan darah sebagai usaha berterusan memastikan kesejahteraan rakyat sentiasa terpelihara.
Pengerusi Jawatankuasa Kerja Raya, Pengangkutan dan Kesihatan Negeri Pahang, YB. Dato’ Ir. Razali Kassim, berkata kerajaan negeri akan terus bekerjasama rapat dengan Jabatan Kesihatan Negeri Pahang dalam menjayakan pelbagai program berkaitan kesihatan untuk manfaat masyarakat.

“Kerajaan Negeri sentiasa menyokong segala usaha yang dilaksanakan demi kesejahteraan rakyat. Kita akan terus bersama Jabatan Kesihatan Negeri dalam menjayakan program pendermaan darah serta pelbagai inisiatif kesihatan bagi memastikan kesejahteraan rakyat sentiasa terpelihara,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas Majlis Apresiasi Hari Penderma Darah Sedunia Peringkat Kebangsaan 2026 yang berlangsung di Auditorium Darul Makmur, Kompleks Penyiaran Sultan Haji Ahmad Shah, di sini hari ini.
Program anjuran Hospital Tengku Ampuan Afzan bersama JKNP itu diadakan sebagai tanda penghargaan kepada penderma darah sukarela yang telah banyak membantu menyelamatkan nyawa serta memastikan bekalan darah negara sentiasa mencukupi.

Bertemakan “Setitis Darah, Demi Kemanusiaan. Derma Darah, Selamatkan Nyawa”, majlis berkenaan turut meraikan seramai 140 penerima anugerah dalam pelbagai kategori, termasuk Penderma Darah Komited Lelaki dan Perempuan, Penderma Aferesis Teraktif, Penderma Rhesus Negatif Responsif serta Penganjur Kempen Derma Darah Terbaik.
Pahang merekodkan peningkatan kutipan darah yang memberangsangkan apabila berjaya mengumpulkan 33,989 beg darah pada tahun 2025 berbanding 30,681 beg darah pada tahun 2023, sekali gus mencerminkan tahap kesedaran masyarakat yang semakin tinggi terhadap kepentingan pendermaan darah.
JKNP berharap kerjasama berterusan daripada pelbagai pihak dapat memperkukuhkan budaya pendermaan darah dalam kalangan masyarakat bagi memastikan bekalan darah negara sentiasa mencukupi untuk kegunaan pesakit yang memerlukan. -PAHANGMEDIA

