Oleh: Norhafizan Zulkifli
Foto: Farizul Hafiz Awang
BERA, 10 JUN 2026 : Seramai 22,678 pelajar di seluruh Pahang bakal menerima manfaat menerusi Inisiatif Makmur Pahang Buku Rujukan dan Buku Latihan SPM, STPM dan STAM Tahun 2026 yang dilancarkan pada hari ini bertempat di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) FELDA Purun, di sini.
Jumlah tersebut melibatkan 19,893 calon Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), 2,245 calon Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) dan 540 calon Sijil Tinggi Agama Malaysia (STAM).

YAB Menteri Besar Pahang, Dato’ Sri Diraja Haji Wan Rosdy Wan Ismail berkata, inisiatif itu diteruskan selepas kejayaan Pahang muncul sebagai negeri terbaik dalam pencapaian SPM 2025, sekali gus membuktikan keberkesanan usaha berterusan Kerajaan Negeri dalam memperkasakan bidang pendidikan.
“Dan proses ini tidak habis begitu sahaja. Kita fikir lagi bagaimana untuk meningkatkan lagi kerana kita tahu semakin hari pelajaran semakin komplikated, memerlukan fokus dan pelbagai.

“Jadi kita tambah lagi (buku rujukan) iaitu matematik tambahan dan sains menjadikan empat (subjek) sebelum ini kepada enam,” katanya ketika ditemui selepas majlis pelancaran inisiatif berkenaan di sini hari ini.
Majlis turut dihadiri YB. Speaker Dewan Negeri Pahang, Dato’ Sri Mohd Sharkar Shamsuddin; YB. Setiausaha Kerajaan Pahang, Dato’ Sri Nazri Abu Bakar; YB. Pegawai Kewangan Negeri Pahang, Dato’ Indera Haji Fadzilla Haji Salleh; Pengarah Jabatan Pendidikan Negeri Pahang (JPNP), YBrs. Tuan Haji Ahmad Zamri Md Isa, barisan Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan, ketua-ketua jabatan dan pimpinan setempat.
Dalam perkembangan sama, YAB. Dato’ Sri Diraja Haji Wan Rosdy berkata, Kerajaan Negeri turut bersetuju untuk mempertimbangkan permohonan JPNP bagi memperluaskan bantuan tersebut kepada pelajar Tingkatan Empat bermula tahun hadapan.
“Dan saya juga mendapat permohonan daripada pengarah pendidikan bahawa untuk pelajar-pelajar Tingkatan Empat juga harus disantuni, diberi perhatian.
“Jadi Kerajaan Negeri tidak beragak-agak untuk meluluskan sejumlah peruntukan. Saya minta pengarah pendidikan untuk memberi detail kepada Kerajaan Negeri kita pertimbangkan,” ujarnya.

Tambahnya, Kerajaan Negeri akan terus memberi sokongan terhadap sebarang usaha yang mampu meningkatkan tahap pendidikan dan kecemerlangan pelajar di negeri ini.
“Bagi saya ini tidak ada masalah sebagaimana yang saya ucapkan tadi bahawa pendidikan itu adalah satu pelaburan untuk anak-anak di Pahang kerana tidak ada maknanya kalau kita maju dan sebagainya tetapi akhlak anak-anak kita runtuh, tidak bermoral dan sebagainya.
“Kita mahu mereka mempunyai akhlak yang baik, beradab, bersopan dan berintegriti. Itulah hasrat kita,” katanya lagi.-PAHANGMEDIA

