Oleh: Syafiqah Jamaluddin
Foto : Ezzatul Syafiqa Asmawai
TEMERLOH, 10 JUN 2026 : Kerajaan Negeri Pahang terus menghargai jasa dan sumbangan bekas wakil rakyat menerusi Program Ziarah Kasih Bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) yang dilaksanakan oleh Dewan Negeri Pahang, sebagai tanda penghargaan terhadap jasa dan pengorbanan mereka kepada negeri serta rakyat Pahang.
Pada lawatan kali ini, Speaker Dewan Negeri Pahang, YB Dato’ Sri Haji Mohd Sharkar Shamsudin menziarahi bekas Timbalan Yang Dipertua Dewan Negeri Pahang merangkap bekas ADUN Jenderak, Dato’ Sri Mohamed Jaafar, serta bekas ADUN Kuala Semantan, Dato’ Noor Azmi Mat Ludin di kediaman masing-masing bagi mengeratkan silaturahim serta bertanya khabar.

Menurut beliau, program berkenaan bukan sekadar lawatan biasa, malah menjadi platform untuk mendekati bekas wakil rakyat yang pernah memainkan peranan penting dalam pembangunan negeri dan kesejahteraan rakyat.
“Ketika menjadi wakil rakyat dahulu, mereka membawa pelbagai isu rakyat ke Dewan Undangan Negeri, memperjuangkan kebajikan masyarakat serta menyumbang kepada pembangunan kawasan masing-masing.
“Justeru, jasa dan pengalaman mereka tidak boleh dilupakan. Kita sentiasa menghargai pandangan serta cadangan yang dikemukakan kerana ia masih relevan dalam membantu memperkukuhkan pentadbiran dan pembangunan negeri,” katanya.

Sementara itu, Dato’ Sri Mohamed Jaafar menyifatkan program berkenaan sebagai satu inisiatif yang amat bermakna kerana ia membuktikan bekas pemimpin negeri masih dihargai dan tidak dilupakan.
“Apabila bersara daripada dunia politik, sudah tentu ada masanya seseorang itu merasakan dirinya semakin jauh daripada arus pentadbiran semasa.
“Namun melalui program seperti ini, kami berasa dihargai kerana masih diingati dan diberi perhatian oleh kerajaan negeri,” katanya.

Bagi Dato’ Noor Azmi Mat Ludin pula, program ziarah tersebut memberi ruang kepada bekas wakil rakyat untuk terus berkongsi pengalaman serta pandangan yang boleh dimanfaatkan demi kemajuan negeri.
“Hubungan silaturahim yang terjalin melalui program seperti ini sangat baik kerana ia menghubungkan generasi kepimpinan lama dan baharu.
“Selain mengimbau pengalaman lalu, ia juga membuka ruang untuk bertukar pandangan serta berkongsi idea yang boleh memberi manfaat kepada negeri dan rakyat,” katanya.
Program ziarah berkenaan merupakan antara usaha berterusan Dewan Undangan Negeri Pahang dalam memastikan hubungan baik dengan bekas wakil rakyat terus diperkukuhkan, selaras dengan komitmen kerajaan negeri untuk menghargai jasa mereka yang pernah berkhidmat kepada rakyat dan negeri Pahang. -PAHANGMEDIA

