Oleh: Norhafizan Zulkifli
Foto: Farizul Hafiz Awang
BERA, 10 JUN 2026 : Inisiatif Makmur Pahang Buku Rujukan dan Buku Latihan SPM, STPM dan STAM terus menerima maklum balas positif daripada pelajar yang menyifatkan bantuan itu sebagai pemangkin kepada usaha meningkatkan pencapaian akademik mereka.
Pelajar Tingkatan Lima Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Purun, Nur Adriana Sofea Ahmad Syafarin, 17, berkata, beliau berasa teruja dan bangga apabila terpilih menerima bantuan inisiatif berkenaan.

Katanya, buku rujukan dan latihan yang diterima akan dimanfaatkan sepenuhnya sebagai bahan pembelajaran bagi menghadapi peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) tahun depan.
“Saya rasa teruja dan rasa bangga sebab Tok Wan (YAB Menteri Besar Pahang, Dato’ Sri Diraja Haji Wan Rosdy Wan Ismail) pilih sekolah kami untuk datang. InsyaAllah saya harap Lepas ni saya dapat belajar dengan lebih lebih baik dan gunakan buku Tok Wan itu sebagai rujukan,” katanya.
Seorang lagi pelajar, Putri Yuhannis Yuzni, 17, berpendapat bantuan berkenaan amat bermakna terutama kepada pelajar daripada keluarga kurang berkemampuan yang tidak mampu membeli bahan rujukan tambahan.

Tambahnya, buku tersebut bukan sahaja membantu pelajar cemerlang meningkatkan prestasi, malah memberi peluang kepada pelajar lemah untuk memperkukuhkan penguasaan dalam subjek teras seperti Matematik dan Sejarah.
“Sangat membantu sebab daripada yang dapat markah rendah boleh dapat markah tinggi. Jadi sangat-sangatlah membantu.
“Terima kasih Kerajaan Negeri sebab buat buku ini, Terima kasih Tok Wan bantu murid-murid yang sangat lemah dalam membantu pelajaran,” katanya.
Sementara itu, pelajar Tingkatan Enam, Nurellya Aisyah Ahmad Rozaini, 19, pula berkata, pemberian buku rujukan berkenaan membuktikan Kerajaan Negeri sentiasa prihatin terhadap kebajikan dan keperluan pendidikan pelajar di Pahang.

Menurutnya, berdasarkan pengalaman dan pencapaian pelajar sebelum ini, buku tersebut terbukti berkesan dalam membantu calon peperiksaan memperoleh keputusan yang lebih cemerlang.
“Saya berharao saya akan belajar bersungguh-sungguh bila dah ada modul sebab saya rasa modul ini memang sangat membantu untuk kami belajar supaya kami boleh dapat keputusan yang baik.
“Dengan adanya buku ini, ia menunjukkan Kerajaan Negeri prihatin terhadap pelajar Pahang, jadi pelajar-pelajar Pahang boleh menaikkan nama Pahang ke peringkat seterusnya. Saya rasa bertuah jadi anak Pahang, terima kasih Tok Wan, terima kasih Kerajaan Negeri,” katanya.
Terdahulu, YAB Dato’ Sri Diraja Haji Wan Rosdy telah melancarkan Inisiatif Makmur Pahang Buku Rujukan dan Buku Latihan SPM, STPM dan STAM Tahun 2026 yang bakal memberi manfaat kepada 22,678 pelajar di seluruh negeri itu. -PAHANGMEDIA

