Oleh : Norhafizan Zulkifli
Foto : Farizul Hafiz Awang
BERA, 10 JUN 2026 : Seramai 62 peneroka FELDA Rentam di sini menerima suratan hak milik masing-masing dalam satu majlis yang diadakan bertempat di Majlis Daerah Bera, di sini hari ini.
YAB. Menteri Besar, Dato’ Sri Diraja Haji Wan Rosdy Wan Ismail berkata, Kerajaan Negeri komited menyelesaikan isu pemilikan tanah peneroka di seluruh Pahang dengan baki 231 peneroka masih dalam proses.
Katanya, setakat ini, daripada lebih 43,000 peneroka FELDA di negeri ini, kira-kira 95 peratus telah menerima suratan hak milik manakala baki lima peratus lagi akan diselesaikan tahun ini.

“InsyaAllah, kita akan selesaikan suratan hak milik kepada semua peneroka di negeri Pahang. Hari ini di FELDA Rentam, Bera, kita berjaya selesaikan, maknanya daripada 400 lebih peneroka kita selesaikan (suratan hakmilik),” katanya ketika berucap pada majlis berkenaan.
Hadir sama, Pengerusi Jawatankuasa Kebajikan Masyarakat, Pembangunan Wanita dan Keluarga Negeri Pahang, YB. Dato’ Sabariah Saidan; Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal FELDA, Koperasi dan Usahawan Negeri Pahang, YB. Dato’ Amizar Abu Adam; serta barisan ketua jabatan dan pimpinan setempat.
Dalam pada itu beliau berkata, penubuhan FELDA yang diilhamkan oleh Allahyarham Tun Abdul Razak Hussein menerusi kerajaan Perikatan ketika itu bertujuan mengubah kehidupan masyarakat Melayu luar bandar.

“Dasar ini tujuannya hendak meningkatkan taraf hidup orang Melayu untuk pastikan tanah-tanah yang diusahakan ini akan menjadi milik mereka yang datang untuk menjadi peneroka, dan akhirnya menjadi kenyataan.
“Kehadiran kita sebagai peneroka telah mengubah nasib kita, ada dalam kalangan anak-anak kita yang menjadi doktor, ada yang pentadbir, ada yang jadi jurutera, ada yang memegang pelbagai jawatan, pemimpin dan sebagainya,” katanya.
Malah katanya, kawasan FELDA juga berkembang menjadi pusat pertumbuhan ekonomi yang memberi manfaat kepada masyarakat setempat.

Justeru itu, beliau meminta rakyat terus mengekalkan kestabilan politik dan keharmonian yang dinikmati negeri ini bagi memastikan agenda pembangunan dapat diteruskan.
“Kita di Pahang, Alhamdulillah, kestabilan politik ada, kedudukan kewangan kita bagus, hutang kita dengan Kerajaan Persekutuan daripada RM3.2 bilion tinggal RM900 juta, bantuan kita bagi tidak berhenti kepada rakyat negeri ini.
“Jadi saya minta tuan-tuan dan puan-puan bantu saya untuk terus kekalkan kestabilan politik. Kalau tidak ada kestabilan politik, negeri Pahang ini akan undur kebelakang lagi,” katanya lagi. -PAHANGMEDIA

