CAMERON HIGHLANDS, 9 JUN 2026 : Kebawah Duli Paduka Baginda Sultan Pahang, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah Ibni Almarhum Sultan Haji Ahmad Shah berkenan bercemar duli berangkat ke Sekolah Rendah Agama Islam Negeri Pahang (SRAIN) Cameron Highlands di Golden Hills, hari ini.
Keberangkatan Paduka Baginda pada jam 10 pagi disambut oleh Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Agama Islam, Kemajuan Desa dan Hal Ehwal Orang Asli Negeri Pahang, YB. Dato’ Sri Syed Ibrahim Syed Ahmad; Pengarah Jabatan Agama Islam Pahang (JAIP), Tok Muda Dato’ Haji Ahmad Khirrizal Haji Ab. Rahman serta Pegawai Daerah Cameron Highlands, Kamarul Iskandar Nordin.

Sejurus tiba, Paduka Baginda berkenan mendengar taklimat mengenai perkembangan SRAIN Cameron Highlands yang merupakan sekolah rendah agama pertama ditubuhkan oleh Kerajaan Negeri Pahang.
SRAIN Cameron Highlands kini menempatkan seramai 14 murid Tahun Satu yang dibimbing oleh tujuh orang guru. Sesi persekolahan dijalankan di sebuah bangunan sementara yang disewa di Golden Hills sementara menunggu pembangunan kemudahan yang lebih lengkap pada masa hadapan.
Sekolah tersebut menawarkan kurikulum bersepadu yang merangkumi mata pelajaran akademik, pendidikan agama Islam, bahasa Arab serta hafazan al-Quran, selaras dengan kurikulum yang diperakukan oleh Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM).

Dalam majlis yang sama, Paduka Baginda turut berkenan menyempurnakan pelancaran lencana rasmi sekolah sebagai simbol identiti dan aspirasi SRAIN Cameron Highlands dalam melahirkan generasi berilmu, berakhlak dan berdaya saing.

Baginda juga berkenan menyaksikan penyerahan cek cura daripada Majlis Ugama Islam dan Adat Resam Melayu Pahang (MUIP), Bank Rakyat dan Syarikat GNIUS sebagai tanda sokongan terhadap pembangunan pendidikan Islam di negeri ini.
Keberangkatan Paduka Baginda mencerminkan komitmen berterusan Institusi Diraja Pahang dalam memperkukuh agenda pendidikan agama serta memastikan akses pendidikan Islam yang berkualiti dapat dinikmati oleh masyarakat di seluruh negeri, termasuk di kawasan tanah tinggi Cameron Highlands.- PAHANGMEDIA
Foto: Kesultanan Pahang

