Oleh : Ain Nadhirah Basha
Foto: Shahrizar Adzhar
ROMPIN, 09 JUN 2026 : Program Memperkasakan Ilmu: STEM Outreach 2026 menjadi platform memberi pendedahan awal kepada pelajar sekolah rendah dalam bidang Sains, Teknologi, Kejuruteraan, dan Matematik (STEM).
Menurut Pengerusi Jawatankuasa Kerja Raya, Pengangkutan dan Kesihatan Negeri Pahang, YB. Dato’ Ir. Razali Kassim, program ini juga dapat membantu kemenjadian pelajar luar bandar dalam bidang berkenaan.

“Dulu guru-guru hanya fokus kepada periksa. Guru mengajar pun fokus kepada subjek yang dia ajar untuk memastikan pelajar dapat menjawabnya. Tapi hari ini cabaran guru adalah bagaimana kita nak melahirkan pelajar yang boleh berfikir, boleh berinovasi.
“Jika dapat melahirkan pelajar yang berinovasi, pelajar yang berfikir, maknanya walau duduk di zaman mana pun dia boleh saja berkembang, dapat menyelesaikan masalah dan sebagainya. Jadi itu yang sebenarnya kita nak melahirkan insan yang boleh berfikir.
“Bukan sekadar dia melahirkan yang boleh berfikir, boleh hidup di zaman itu, generasi ini juga akan melahirkan generasi-generasi yang seterusnya dalam bidang ini,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pada Program Memperkasakan Ilmu: STEM Outreach 2026 di SK Bukit Ridan hari ini yang turut dihadiri Pengurus Besar PETRONAS Pantai Timur, Encik Mohammad Ahmad Shazly Ramli.
Beliau turut melahirkan penghargaan kepada pihak Petronas dan Petrosains dengan penganjuran program yang telah memasuki tahun ke-12 pelaksanaan dengan memberi manfaat kepada lebih 66,000 pelajar dari seluruh negara.

“Saya tahu Pahang ini sebuah negeri yang luas dan banyak juga sekolah-sekolah kita berada sekolah di luar bandar dan di pedalaman. Saya ingin berterima kasih kepada pihak Petronas kerana melihat kepentingan pelajar-pelajar di luar bandar.
“Jadi diharapkan program-program ini dapat diteruskan lagi, dapat dikembangkan lagi, di mana kita tahu sekolah kita banyak di luar bandar, di pedalaman, di kawasan Orang Asli dan sebagainya. Jadi diharap program ini dapat diteruskan lagi,” katanya.
Seramai 661 orang murid daripada SK Bukit Ridan dan lapan buah sekolah rendah sekitar daerah Rompin telah dijemput bagi menyertai program yang memberi ruang kepada pelajar untuk meneroka, bereksperimen, dan melihat sendiri ilmu yang dipelajari boleh diaplikasikan di dalam kehidupan sebenar mereka. -PAHANGMEDIA

