Oleh : Norhafizan Zulkifli
Foto : Ezzatul Syafiqa Asmawai
KUANTAN, 09 JUN 2026 : Kerajaan Pahang tidak pernah membuat keputusan secara sewenang-wenangnya dalam soal penerokaan hutan sebaliknya, setiap tindakan yang diambil dibuat secara teliti dengan mengambil kira keseimbangan antara pembangunan ekonomi dan pemeliharaan alam sekitar.
YAB Menteri Besar Pahang, Dato’ Sri Diraja Haji Wan Rosdy Wan Ismail berkata, komitmen tersebut terbukti apabila lebih 57 peratus daripada 3.6 juta hektar keluasan tanah negeri ini masih dikekalkan sebagai kawasan hutan simpan.
“Bagi hutan, kita seimbangkan antara pembangunan dan penebangan hutan. Maknanya kita tidak buat sesuka hati.

“Saya ucapkan syabas dan tahniah kepada pengarah-pengarah yang berkhidmat di negeri Pahang selama saya menjadi Menteri Besar, semuanya sangat prihatin terhadap hutan di negeri Pahang,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Perasmian Persidangan Pengarah-Pengarah Perhutanan Negeri Semenanjung Malaysia ke-46 Tahun 2026 bertempat di Dewan Utama Kompleks Yayasan Pahang, di sini, semalam.
Majlis turut dihadiri Timbalan Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam (NRES), YB. Tuan Syed Ibrahim Syed Noh; Ketua Pengarah Perhutanan Semenanjung Malaysia, YH. Dato’ Haji Zahari Ibrahim; Timbalan Ketua Pengarah Perhutanan (Dasar & Perancangan), YH. Dato’ Hj. Roslan Rani; Pengarah Jabatan Perhutanan Negeri Pahang ialah YH. Dato’ Zainuddin Jamaluddin serta barisan pengarah Perhutanan Semenanjung Malaysia.

Beliau dalam pada itu berkata, Kerajaan Negeri turut terus memperkukuhkan usaha penguatkuasaan bagi membanteras aktiviti pembalakan haram, perlombongan haram dan pencerobohan tanah kerajaan yang boleh mengancam kelestarian hutan.
Katanya lagi, pendekatan lebih tegas dilaksanakan termasuk membawa pelaku ke muka pengadilan bagi memastikan aktiviti tersebut dapat dibendung secara berkesan.
“Jadi kita kuatkuasakan, akhirnya Alhamdulillah, mungkin tidak sifarkan, tetapi saya boleh katakan hampir sifar penerokaan balak haram di negeri Pahang. Ini satu kejayaan,” ujarnya.

Pada masa sama, beliau berkata, kejayaan Kerajaan Negeri meningkatkan hasil negeri sehingga melepasi RM1 bilion selama empat tahun berturut-turut membuktikan pembangunan ekonomi boleh dicapai tanpa mengabaikan aspek pemeliharaan alam sekitar.
“Bagi negeri Pahang Alhamdulillah, tahun lepas, Dato’ Zainuddin menyumbang RM141 juta hasil kepada Kerajaan Negeri. Dan sumbangan beliau inilah antaranya yang menyebabkan negeri Pahang mendapat pencapaian melebihi RM1 bilion empat tahun berturut-turut,” katanya lagi.
Beliau turut memaklumkan, hasil yang diperoleh itu kemudiannya dikembalikan kepada rakyat menerusi pelbagai inisiatif kebajikan dan bantuan yang dilaksanakan Kerajaan Negeri. -PAHANGMEDIA

