CAMERON HIGHLANDS, 8 JUN 2026 : Kebawah Duli Paduka Baginda Sultan Pahang, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah Ibni Almarhum Sultan Haji Ahmad Shah berkenan bercemar duli berangkat menyempurnakan Majlis Pengurniaan Hadiah Kejohanan Golf Amatur Terbuka Cameron Highlands Ke-27 Tahun 2026 yang berlangsung di Kelab Golf Sultan Ahmad Shah, di sini hari ini.
Keberangkatan Paduka Baginda menyerlahkan komitmen berterusan Institusi Kesultanan Pahang dalam menyokong pembangunan sukan golf di negeri ini, di samping memperkukuh kedudukan Cameron Highlands sebagai antara destinasi pelancongan sukan utama negara.

Pada majlis tersebut, Paduka Baginda berkenan mengurniakan hadiah kepada para pemenang kejohanan yang menghimpunkan pemain-pemain golf amatur dari pelbagai negeri. Kejohanan berprestij itu terus mendapat sambutan menggalakkan daripada komuniti golf tempatan dan luar Pahang.
Turut hadir ialah Setiausaha Kerajaan Pahang, Dato’ Sri Nazri Abu Bakar; Pengerusi Jawatankuasa Komunikasi dan Multimedia, Belia, Sukan dan Badan-badan Bukan Kerajaan Negeri Pahang, YB. Tuan Fadzli Mohamad Kamal mewakili YAB Menteri Besar Pahang, Dato’ Sri Diraja Haji Wan Rosdy Wan Ismail, Ahli Parlimen Cameron Highlands, Ramli Mohd Noor; serta Presiden Kelab Golf Sultan Ahmad Shah merangkap Pegawai Daerah Cameron Highlands, Kamarul Iskandar Nordin.

Kejohanan Golf Amatur Terbuka Cameron Highlands yang dianjurkan secara dwitahunan kini memasuki edisi ke-27 dan terus diiktiraf sebagai antara kejohanan golf amatur paling berprestij di negeri Pahang.
Bagi edisi tahun ini, kejohanan berjaya menarik penyertaan seramai 120 pemain, manakala 40 lagi peserta berada dalam senarai menunggu. Daripada jumlah keseluruhan peserta, seramai 84 orang merupakan pemain luar manakala 36 orang adalah ahli Kelab Golf Sultan Ahmad Shah.

Menambah kemeriahan kejohanan, seramai 10 atlet golf SUKMA Pahang yang sedang meningkat naik turut mengambil bahagian, sekali gus memberi pendedahan kompetitif kepada bakat-bakat muda negeri.
Penganjuran Kejohanan Golf Amatur Terbuka Cameron Highlands Ke-27 dilihat terus memainkan peranan penting dalam mempromosikan pembangunan sukan golf, mencungkil bakat baharu serta merancakkan sektor pelancongan sukan di Cameron Highlands dan negeri Pahang secara keseluruhannya.- PAHANGMEDIA
Foto: Ihsan Kesultanan Pahang.

