Oleh : Nur Saadah Artika & Ummul Qistina Sofea
Foto : Farizul Hafiz Awang
KUANTAN, 08 JUN 2026 : SA Mart Mahkota Square di sini menjadi cawangan pertama SA Mart yang dibuka di negeri Pahang, sekali gus berperanan sebagai platform menghimpunkan produk Industri Kecil dan Sederhana (IKS) tempatan untuk dipasarkan ke peringkat lebih luas.
Pengerusi Jawatankuasa Pelaburan, Perindustrian, Sains, Teknologi dan Inovasi Negeri Pahang, YB Dato’ Mohamad Nizar Dato’ Sri Mohamad Najib berkata, SA Mart bukan sekadar sebuah pusat jualan, malah menjadi hab pengumpulan produk-produk IKS Pahang untuk dikomersialkan ke pasaran serantau dan antarabangsa.
Menurut beliau, usaha itu membuka peluang kepada usahawan tempatan untuk memperluaskan pasaran melalui perdagangan dua hala melibatkan wilayah Borneo termasuk Sabah, Sarawak, Brunei, Filipina dan Indonesia.

“SA Mart ini menjadi tempat yang mengumpulkan produk-produk IKS di Pahang untuk dikomersialkan ke negara-negara serantau dan memulakan perdagangan dua hala dengan Sabah, Sarawak, Brunei, Filipina serta Indonesia.
“Sekiranya terdapat permintaan yang tinggi, produk-produk ini juga berpotensi menembusi pasaran yang lebih besar seperti Korea Selatan, Jepun dan China yang mempunyai populasi pengguna Islam yang ramai, selain pasaran di Timur Tengah,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Perasmian SA Mart Mahkota Square di sini, hari ini.

Menurut beliau, SA Mart dilihat sebagai platform penting dalam memperkukuh ekosistem Industri Kecil dan Sederhana (IKS) negeri ini, selain membuka lebih banyak peluang kepada usahawan tempatan untuk mengembangkan perniagaan mereka ke pasaran yang lebih luas.
“Tawaran yang diberikan oleh syarikat ini amat memberangsangkan apabila mereka merancang untuk mewujudkan ekosistem pembangunan bernilai kira-kira RM250 juta yang melibatkan lebih 500 peluang pekerjaan serta lebih 300 rakan Industri Kecil dan Sederhana (IKS) sebagai rakan vendor.
“Ini merupakan satu komponen yang amat dialu-alukan dan amat penting buat industri halal di negeri ini,” katanya.
Beliau berharap pembukaan SA Mart Mahkota Square akan menjadi pemangkin kepada pertumbuhan ekonomi negeri, sekali gus merancakkan aktiviti perdagangan, memperluaskan peluang perniagaan serta mewujudkan lebih banyak peluang pekerjaan kepada rakyat Pahang pada masa hadapan. -PAHANGMEDIA

