Oleh : Norhafizan Zulkifli & Ummul Qistina Sofea
Foto : Ezzatul Syafiqa Asmawai
KUANTAN, 21 MEI 2026 : Karnival Aspirasi Pahang 1st tahun ini tampil lebih istimewa dengan penglibatan empat Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri bagi memperkukuh pengisian program yang dijadual bermula di Bera pada Julai depan.
Pengerusi Jawatankuasa Kebajikan Masyarakat, Pembangunan Wanita dan Keluarga Negeri Pahang, YB. Dato’ Sabariah Saidan berkata, keempat-empat Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri berkenaan akan mempengerusikan secara bersama bagi menjayakan karnival berkenaan mengikut portfolio masing-masing.
Antara yang terlibat selain dirinya ialah Pengerusi Jawatankuasa Pelaburan, Perindustrian, Sains, Teknologi dan Inovasi Negeri Pahang, YB. Dato’ Mohamad Nizar Dato’ Sri Mohamad Najib; Pengerusi Jawatankuasa Komunikasi dan Multimedia, Belia, Sukan dan Badan-badan Bukan Kerajaan Negeri Pahang, YB. Tuan Fadzli Mohamad Kamal; dan Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal FELDA, Koperasi dan Usahawan Negeri Pahang, YB. Dato’ Amizar Abu Adam.

“Karnival Aspirasi Pahang 1st yang akan kita mulakan pada bulan tujuh ini, di mana karnival ini, kesitimewaan kita pada tahun ini ialah kita dipengerusikan bersama oleh empat orang Exco iaitu YB. Fadzli, YB. Dato’ Mohamad Nizar dan juga YB. Dato’ Amizar.
“Di mana untuk YB. Dato’ Amizar itu, kita membawakan berkaitan usahawan. Sebab sebelum ini pun kita ada campur Karnival Tanah, Karnival Usahawan dalam karnival kita dan kita juga membawa YB Dato’ Nizar, Exco Pelaburan dan juga sudah tentu YB. Fadzli bagi orang muda dan juga belia,” katanya ketika ditemui selepas mempengerusikan Mesyuarat Induk Karnival Aspirasi Pahang 1st bertempat di Perbadanan Perpustakaan Awam Pahang (PPAP), di sini hari ini.
Tambahnya, penganjuran kali ini bukan sahaja bertujuan mendekati rakyat, malah menjadi platform untuk menyampaikan ilmu dan menjana ekonomi setempat.

“Kita tidak lagi seperti tahun-tahun sebelum ini, kita nak ‘upgrade’ pencapaian ataupun kejayaan kita. Maksudnya karnival ini mencapai matlamat untuk kita memberi bukan sahaja kita nak jumpa dengan masyarakat, kita juga memberi ilmu dan juga kalau boleh, kita boleh menjana ekonomi melalui karnival tersebut.
“Macam saya sebut tadi, kita ada usahawan, pelaburan juga, kita juga meensasarkan kehadiran belia lebih ramai untuk karnival kali ini dengan program-program yang diminati oleh belia dan mendorong mereka untuk hadir bersama karnival ini,” katanya.
Dalam pada itu, beliau berkata, pelbagai reruai pameran dan program komuniti akan disediakan mengikut penyertaan agensi dan pempamer yang terlibat.
“Jadi saya menyeru seluruh rakyat Negeri Pahang ini hadir ke karnival ini beramai-ramai. Kita juga akan mengadakan kenduri rakyat bersama YAB Menteri Besar Pahang.
“Kita akan adakan promosi ataupun hebahan dari semasa ke semasa. Ini makluman peringkat awal,” ujarnya. -PAHANGMEDIA

