Oleh : Norhafizan Zulkifli
Foto : Farizul Hafiz Awang
KUANTAN, 20 MEI 2026 : Kerajaan Negeri Pahang akan membaikpulih kemudahan di bangunan kedai makan PLB Sungai Lembing dalam usaha memperkukuh sektor pelancongan dan keselesaan pengunjung di kawasan bersejarah itu.
YAB Menteri Besar Pahang, Dato’ Sri Diraja Haji Wan Rosdy Wan Ismail berkata, kerja pembaikan itu melibatkan pembinaan tandas baharu serta kerja membaiki beberapa kemudahan termasuk atap gerai yang dikenal pasti berada dalam keadaan kurang memuaskan.
“Hari ini saya berada di Sungai Lembing bersama-sama dengan Timbalan Menteri Ekonomi dalam lawatan kerja Pahang Aspirasi Pahang 1st. Saya sempat meninjau beberapa tempat dan tadi saya berhenti sekejap di gerai PLB di mana saya dapati keadaan gerainya tidak begitu baik dan tidak terlalu baik.
“Jadi Alhamdulillah saya meluluskan peruntukan untuk membina tandas dan lain-lain tadi Datuk Bandar Kuantan pun ada dan Pejabat Daerah akan membaiki atap-atap yang anggap tidak berapa elok,” katanya ketika ditemui selepas selesai sesi lawatan ke bangunan berkenaan sempena Jelajah Aspirasi Pahang 1st Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Lembing, di sini hari ini.

Hadir sama, Ahli Parlimen Paya Besar yang juga merupakan Timbalan Menteri Ekonomi, YB Dato’ Indera Mohd Shahar Abdullah; YB. Setiausaha Kerajaan Pahang, Dato’ Sri Nazri Abu Bakar; YB. Pegawai Kewangan Negeri Pahang, Dato’ Indera Haji Fadzilla Haji Salleh; Penyelaras DUN Sungai Lembing, YH. Dato’ Safariah Awang Ngah serta barisan pimpinan setempat.
Dalam pada itu, beliau turut memuji usaha pelbagai pihak termasuk Ahli Parlimen Paya Besar dalam memperkasakan pembangunan dan pelancongan di Sungai Lembing.
Katanya, pelbagai projek pembangunan sedang dan akan dilaksanakan termasuk projek tebatan banjir bernilai lebih RM100 juta yang dijangka siap dalam masa terdekat.
“Dan saya berkesempatan ‘round’ Pekan Sungai Lembing tempat bersejarah. Alhamdulillah banyak telah di’upgrade’ dan ini boleh menggamit pelancong datang ke Sungai Lembing.
“Saya ucapkan taniah kepada ahli parlimen Paya Besar. Sungai Lembing di bawah jagaan beliau. Banyak perubahan yang berlaku terutama rancangan tebatan banjir yang menilai RM100 juta lebih yang akan siap dalam masa terdekat.
“Dan banyak lagi lah yang lain-lain yang akan dan sedang dibina di Parlimen Paya Besar ini. Terutamanya di DUN Sungai Lembing,” katanya lagi.

Sehubungan itu, beliau mengajak pelancong dari dalam dan luar Pahang untuk terus menjadikan Sungai Lembing sebagai destinasi pilihan pelancongan.
Beliau turut merakamkan penghargaan kepada Pejabat Daerah, Lembaga Muzium Pahang dan Tourism Pahang atas usaha berterusan memelihara kawasan pelancongan berkenaan sebagai produk warisan dan tarikan negeri
Sementara itu, YB. Dato’ Safariah turut merakamkan penghargaan kepada YAB Menteri Besar Pahang dan barisan pimpinan yang hadir ke Sungai Lembing sekali gus melukuskan peruntukan bagi menambahbaik kemudahan yang ada di sekitar pekan berkenaan.
“Saya sebagai Penyelaras DUN Sungai Lembing mengucapkan terima kasih banyak kepada YAB Menteri Besar Pahang kerana telah menurunkan Exco (Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri) bersama peruntukan mnasing-masing ke kawasan Sungai Lembing.
“Alhamdulillah berjalan dengan lancar dan terima kasih sekali lagi kepada Kerajaan Negeri yang banyak membantu untuk rakyat di DUN Sungai Lembing,” katanya. -PAHANGMEDIA

