Oleh : Norhafizan Zulkifli
Foto : Farizul Hafiz Awang
KUANTAN, 20 MEI 2026 : Pengorbanan dan jasa pasukan keselamatan dalam memastikan keamanan negeri terus mendapat perhatian Kerajaan Negeri Pahang apabila Polis Diraja Malaysia (PDRM) Pahang dan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) Pahang menerima sumbangan ibadah korban dalam bentuk kewangan masing-masing bernilai RM135,150 dan RM148,700.
Sumbangan Kerajaan Negeri tersebut disampaikan oleh YAB. Menteri Besar Pahang, Dato’ Sri Diraja Haji Wan Rosdy Wan Ismail dalam satu majlis yang diadakan di Pusat Pentadbiran Sultan Ahmad Shah (PPSAS), di sini, hari ini, sebagai tanda penghargaan Kerajaan Negeri terhadap komitmen pasukan keselamatan dalam menjaga kesejahteraan rakyat dan kestabilan negeri dan negara.
Sumbangan tersebut juga sekali gus menolak dakwaaan pihak tertentu yang mendakwa Kerajaan Negeri tidak cakna dan tidak mengambil berat tentang kebajikan anggota pasukan keselamatan di negeri ini.
Mewakili Ketua Polis Pahang dan Persatuan Keluarga Polis (PERKEP) Pahang, YDH ACP Tuan Zuraimie Zakaria berkata, sumbangan itu membuktikan Kerajaan Negeri Pahang sentiasa prihatin terhadap kebajikan warga pasukan keselamatan khususnya PDRM Kontinjen Pahang.

“Kehadiran saya pada hari ini adalah untuk menerima sumbangan cek bernilai RM135 ribu lebih atas sumbangan lembu korban yang diberikan oleh Kerajaan Negeri Pahang melalui YAB Menteri Besar Pahang.
“Saya mewakili warga PDRM IPK Pahang mengucapkan terima kasih banyak-banyak di atas keperhatianan Menteri Besar Pahang yang mewakili Kerajaan Negeri Pahang yang mengingati jasa dan pengorbanan PDRM IPK Pahang dalam melaksanakan tugas,” katanya ketika ditemui selepas majlis berkenaan hari ini.
Tambahnya, warga PDRM Pahang amat terharu dengan penegasan YAB Menteri Besar Pahang bahawa kerajaan negeri tidak pernah mengabaikan kebajikan pasukan keselamatan di negeri ini.
“Saya amat terharu apabila YAB Menteri Besar sendiri dengan jelas menegaskan bahawa Kerajaan Negeri Pahang tidak pernah mengabaikan dan meninggalkan kebajikan pasukan keselamatan terutama PDRM IPK Pahang,” katanya.

Sementara itu, dalam majlis sama, turut menerima bantuan, Encik Muhammad Asyraf Osman, 31, juga melahirkan penghargaan kepada Kerajaan Negeri atas bantuan yang diterimanya bagi tujuan perubatan.
Beliau yang menghidap penyakit kencing manis sejak sekitar empat tahun lalu berkata, sumbangan tersebut sedikit sebanyak membantu meringankan kos rawatan perubatan yang ditanggungnya.
“Terima kasih kepada Kerajaan Negeri yang bagi sumbangan untuk saya. Jadi dapatlah saya ringankan sedikit kos untuk perubatan apa semua,” katanya yang bertugas sebagai Pembantu Perubatan di Hospital Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) dan turut mendapatkan rawatan di hospital sama. -PAHANGMEDIA

