Oleh : Norhafizan Zulkifli
Foto : Farizul Hafiz Awang
BENTONG, 19 MEI 2026 : Kerajaan Negeri Pahang sentiasa cakna dan prihatin dalam memastikan kebajikan atlet dan kontinjen negeri terjamin sepanjang penyertaan dalam temasya Sukan Malaysia (SUKMA) XXII Selangor 2026 pada Ogos ini.
Pengerusi Jawatankuasa Komunikasi dan Multimedia, Belia, Sukan dan Badan-badan Bukan Kerajaan Negeri Pahang, YB. Tuan Fadzli Mohamad Kamal berkata, Kerajaan Negeri telah meluluskan peruntukan yang besar meliputi kos penginapan, makan minum serta pengangkutan atlet berikutan temasya kali ini tidak menyediakan perkampungan sukan.

“Dan untuk SUKMA ini, saya ucap terima kasih kepada YAB Menteri Besar Pahang, Dato’ Sri Diraja Haji Wan Rosdy Wan Ismail kerana meluluskan peruntukan yang besar dalam keadaan SUKMA Selangor tidak ada perkampungan atlet, kita terpaksa menanggung penginapan, makan minum dan juga pengangkutan untuk atlet dan juga kontinjen kita.
“Jadi saya akan minta sokongan YAB Menteri Besar Pahang untuk mungkin menambah dari segi peruntukan sedia ada sebab pertama kali temasya sukan terbesar sebegini tiada perkampungan sukan, jadi bagi cabaran pada kita dan juga negeri-negeri lain. Jadi saya akan mengadap YAB. Menteri Besar untuk kita bincang perkara ini dan mungkin dapat peruntukan tambahan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika hadir selaku wakil rasmi YAB Menteri Besar Pahang merasmikan Majlis Penutup Kem Atlet Golden Elephant Warrior SUKMA XXII Selangor 2026 dan Majlis Penyampaian Insentif Atlet Makmur 2026 di Resorts World Awana, Genting Highlands, di sini.

Turut hadir, Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal FELDA, Koperasi dan Usahawan Negeri Pahang, YB. Dato’ Amizar Abu Adam; YB. Timbalan Speaker Dewan Undangan Negeri Pahang, Tuan Lee Chin Chen; Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kemayan yang juga merupakan Ketua Kontinjen Pahang, YB Tuan Khaizulnizam bin Mohamad Zuldin dan Pengarah Majlis Sukan Pahang Encik Mahadir Abdul Raffar.
Dalam majlis tersebut, kira-kira 700 atlet menerima bantuan menerusi Insentif Atlet Makmur 2026 sebagai tanda sokongan Kerajaan Negeri terhadap pembangunan sukan di negeri ini.
YB. Tuan Fadzli berkata, Kerajaan Negeri sentiasa menerima pandangan dan maklum balas daripada atlet bagi memastikan setiap bantuan dan kemudahan yang disediakan benar-benar memenuhi keperluan mereka.

“Dan Kerajaan Negeri Pahang sentiasa menerima maklum balas, pandangan daripada atlet untuk kita tambah baik apa yang telah kita laksanakan.
Dan kita tak nak syok sendiri untuk melaksanakan dasar dan polisi, sebab itulah dalam hal berkait dengan kasut misalnya, itu adalah ‘feedback’ daripada mereka, kehendak dan keperluan mereka. Jadi sampai ke tahap itu, Kerajaan Negeri Pahang cuba memenuhi keperluan dan kehendak mereka,” ujarnya.
Beliau dalam pada itu memaklumkan, persiapan kontinjen Pahang dilakukan secara rapi sejak hampir dua tahun lalu termasuk pelantikan ketua kontinjen yang pernah mencatat kejayaan cemerlang pada temasya Para SUKMA Sarawak sebelum ini.

Tambahnya, Kerajaan Negeri juga turut telah memaklumkan kepada pihak Kementerian Belia dan Sukan agar tiada acara sukan digugurkan dalam temasya SUKMA kali ini kerana atlet dan jurulatih telah melakukan persediaan dalam tempoh panjang demi membawa kejayaan kepada Pahang.
“Mereka telah melakukan persiapan, tadi telah saya kongsikan Kerajaan Negeri dah bantu dari sudut kebajikan jurulatih, kebajikan atlet dan banyak lagi sebenarnya peruntukan-peruntukan lain yang kita bagi sebagai persiapan untuk SUKMA ini. Jadi kita harap mereka dapat lakukan yang terbaik dari semasa ke semasa,” katanya lagi. -PAHANGMEDIA

