KUALA LUMPUR, 14 MEI 2026 : Tourism Pahang sekali lagi mengharumkan nama negeri apabila berjaya merangkul anugerah berprestij Most Impactful State Tourism Organisation – Malaysia 2025 sempena Asian Tourism & Hospitality Awards 2025–2026.
Anugerah tersebut disampaikan dalam Majlis Malam Gala bersempena MAH Hospitality Week 2026 dan Hospitality Suppliers Expo 2026 yang berlangsung di Berjaya Times Square Hotel.
Pengiktirafan berkenaan diterima oleh Pengurus Besar Tourism Pahang, Puan Nor Zahira Muhammad Azmi, mewakili Kerajaan Negeri Pahang.
Pengerusi Jawatankuasa Perpaduan, Pelancongan dan Kebudayaan Negeri Pahang, YB Leong Yu Man berkata, anugerah tersebut merupakan hasil usaha berterusan kerajaan negeri bersama pemain industri pelancongan dalam memperkasakan sektor berkenaan secara mampan dan inklusif.
“Anugerah ini menjadi simbol kejayaan bersama seluruh warga industri pelancongan Negeri Pahang. Kerajaan Negeri akan terus memperkukuh agenda pembangunan pelancongan melalui pendekatan strategik yang menitikberatkan aspek kelestarian, pembangunan komuniti serta pengalaman pelancongan berkualiti tinggi,” katanya.
Sementara itu, Nor Zahira berkata, pengiktirafan tersebut akan menjadi pemangkin untuk Tourism Pahang terus memperhebat promosi serta memperluaskan jaringan kerjasama di peringkat domestik dan antarabangsa.
Menurutnya, Pahang mempunyai kelebihan dari segi kepelbagaian produk pelancongan termasuk tanah tinggi, pulau, pantai, taman negara, warisan, budaya serta pelancongan komuniti yang mampu menarik pelancong dari dalam dan luar negara.
Kerajaan Negeri turut merakamkan penghargaan kepada semua pihak termasuk pemain industri, pengusaha hotel dan komuniti setempat yang menyumbang kepada kejayaan sektor pelancongan negeri. -PAHANGMEDIA

