JERANTUT, 16 MEI 2026 : Kebawah Duli Paduka Baginda Sultan Pahang, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah Ibni Almarhum Sultan Haji Ahmad Shah berkenan berangkat ke Kampung Bantal, Ulu Tembeling, bagi memulakan keberangkatan rasmi selama tiga hari ke kawasan pedalaman berkenaan.
Keberangkatan Paduka Baginda yang bermula semalam sehingga 17 Mei 2026 mencerminkan keprihatinan dan kasih sayang Paduka Baginda terhadap rakyat khususnya masyarakat di kawasan pedalaman negeri ini.

Keberangkatan Paduka Baginda turut diiringi Kebawah Duli Paduka Mulia Tengku Mahkota Pahang Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah Ibni Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.
Sepanjang berada di Kampung Bantal, Kebawah Duli Paduka Baginda turut berkenan menyantuni rakyat yang hadir serta mengurniakan sumbangan kepada kanak-kanak di sekitar kampung tersebut.

Keberangkatan Paduka Baginda turut disambut penuh meriah oleh penduduk setempat yang teruja dan bersyukur atas kesudian Baginda meluangkan masa bertemu serta mendekati rakyat di kawasan berkenaan.
Antara pengisian program sepanjang keberangkatan tersebut termasuk solat Jumaat bersama penduduk di Kampung Orang Asli Sungai Kuching, majlis gotong-royong, program saringan kesihatan Institut Jantung Negara (IJN) serta program ziarah kasih di Kampung Gusai.

Program-program yang diatur itu bertujuan memperkukuh hubungan antara institusi diraja dan rakyat selain membawa pendekatan turun padang bagi melihat sendiri keperluan masyarakat di kawasan pedalaman.
Keberangkatan Kebawah Duli Paduka Baginda Sultan Pahang ke Ulu Tembeling juga menjadi lambang komitmen berterusan institusi Kesultanan Pahang dalam memastikan kebajikan rakyat sentiasa diberi perhatian tanpa mengira lokasi dan latar belakang masyarakat.- PAHANGMEDIA
Sumber : Kesultanan Pahang

