Oleh : Nur Saadah Artika
Foto : Farizul Hafiz Awang
KUANTAN, 15 MEI 2026 : Kerajaan Pahang memperkenalkan beberapa inisiatif baharu termasuk Dasar Bekerja Dari Rumah (BDR), Program Bakti Negeri dan Baucar Bantuan Negeri sebagai langkah proaktif dalam membantu rakyat berdepan cabaran ekonomi semasa susulan krisis tenaga global serta ketidaktentuan ekonomi dunia.
YAB Menteri Besar Pahang, Dato’ Sri Diraja Haji Wan Rosdy Wan Ismail berkata, Program Bakti Negeri adalah melalui agihan bantuan bakul makanan kepada golongan yang terkesan dan memerlukan.
“Dalam masa sama, Baucar Bantuan Negeri (BN) Pahang bernilai RM50 bagi setiap baucar turut disalurkan kepada golongan memerlukan untuk pembelian barangan keperluan asas dengan kerjasama pasar raya di seluruh negeri.
“BDR bagi penjawat awam negeri adalah untuk mengurangkan beban kos bahan api dalam kalangan penjawat awam di samping menjimatkan penggunaan tenaga elektrik di pejabat kerajaan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika sesi penggulungan Mesyuarat Pertama Penggal Ke-5 Dewan Negeri Pahang Ke-15 di Wisma Sri Pahang, hari ini.
Sebagai strategi jangka panjang, beliau berkata Kerajaan Negeri sedang memuktamadkan Pelan Transformasi Ekonomi Negeri Pahang 2030 (PET30) sebagai hala tuju pembangunan ekonomi negeri yang lebih mampan, berdaya tahan dan inklusif.
Melalui pelbagai langkah yang dilaksanakan, Kerajaan Negeri menjangkakan Pahang mampu mengekalkan pertumbuhan Keluaran Dalam Negeri Kasar (KDNK) pada kadar lima hingga enam peratus meskipun berdepan cabaran ekonomi global yang semakin mencabar. -PAHANGMEDIA

