Oleh : Norhafizan Zulkifli
Foto : Ezzatul Syafiqa Asmawai
KUANTAN, 15 MEI 2026 : Kerajaan Negeri Pahang menerusi Program Anggun Suri turut menyediakan program susulan selepas perkahwinan dikenali sebagai Program SmartStart Pra Perkahwinan bagi memastikan kesejahteraan rumah tangga pasangan yang mendirikan keluarga terus dipelihara secara berterusan.
Pengerusi Jawatankuasa Kebajikan Masyarakat, Pembangunan Wanita dan Keluarga Negeri Pahang, Sabariah Saidan berkata, program tersebut dilaksanakan menerusi kolaborasi Unit Pembangunan Wanita dan Sosial Negeri bersama Lembaga Penduduk dan Pembangunan Keluarga Negara (LPPKN) serta Jabatan Pembangunan Wanita.
“Di mana program ini dinamakan Program SmartStart Pra Perkahwinan bertujuan untuk memberi pengetahuan dan kemahiran kepada pasangan telah mendirikan rumah tangga agar mereka bersedia menghadapi cabaran kehidupan berkeluarga.
“Antara pengisian program tersebut termasuklah aspek berkomunikasi antara suami isteri, pengurusan kewangan keluarga, pengurusan emosi, kesihatan keluarga serta kaedah menangani konflik secara positif dan juga harmoni,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menjawab pertanyaan lisan dikemukakan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Inderapura, Shafik Fauzan Sharif pada Mesyuarat Pertama Penggal Ke-5 Dewan Negeri Pahang Ke-15 di Wisma Sri Pahang, di sini hari ini.
Tambahnya, melalui pendekatan berkenaan, pasangan dapat membina hubungan yang lebih kukuh, saling memahami serta mewujudkan suasana keluarga yang sejahtera dan berdaya tahan.
Dalam pada itu, beliau turut memaklumkan bahawa Program Anggun Suri pertama bagi tahun ini akan diadakan esok bertempat di Cameron Highlands. -PAHANGMEDIA

