Oleh : Aimi Syafiqa Khairi
Foto : Ezzatul Syafiqa Asmawai
KUANTAN, 15 MEI 2026 : Kerajaan Negeri Pahang menyokong usaha memperkukuhkan identiti produk hasil laut tempatan melalui penggunaan jenama negeri bagi pengiktirafan produk perikanan Pahang di pasaran.
Menurut Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani, Bioteknologi dan Pendidikan Negeri Pahang, YB. Dato’ Sri Ir Haji Mohd Soffi Tan Sri Abd Razak, penggunaan penjenamaan tempatan boleh membantu mengetengahkan produk hasil laut negeri ini.
Katanya, Kerajaan Negeri Pahang menggalakkan pelabelan seperti Pahang Best untuk digunakan oleh usahawan Industri Asas Tani termasuk pengusaha produk berasaskan hasil perikanan.
“Kerajaan Negeri Pahang menggalakkan, membuat engagement untuk kita pertingkatkan supaya kita dapat menghasilkan produk-produk yang dijenamakan sebagai produk Pahang dengan meletakkan penjenamaan Pahang Best.
“Perkara ini berlaku di Rompin, tangkapan ikan yang ditangkap dalam perairan dijenamakan sebagai produk sebagai produk Endau,” katanya ketika menjawab soalan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tioman, YB Dato Sri’ Dr Haji Mohd Johari Hussain pada Mesyuarat Pertama Penggal Ke-5 Dewan Negeri Pahang Ke-15 di Wisma Sri Pahang.
Menurut beliau, perbincangan akan diadakan bagi menubuhkan satu khas dalam usaha memperkukuhkan penjenamaan produk tempatan negeri ini.
“Kita akan duduk dengan menumbuhkan pasukan melihat bagaimana kita dapat menjenamakan semula produk-produk Pahang ini supaya dapat menembusi pasaran-pasaran luar kerana hasilnya dari Pahang.
“Inilah antara cabaran iaitu penangkapan kita tinggi tapi hasil hiliran kita ini yang masih lagi belum dapat kita perkasakan. InsyaAllah ini antara agenda kita laksanakan,” katanya.
Dalam pada itu, beliau turut menyatakan daerah Rompin mempunyai potensi dalam industri perikanan dan pembinaan bot yang boleh diperkasakan sebagai antara pemacu ekonomi negeri.
“Di Rompin ada potensi, Kompleks Perikanan di Rompin ada tempat yang boleh membina bot yang bernilai kira-kira RM2 juta maknanya kemahiran dan ini yang boleh kita perkasakan.
“Kita sentiasa membuat tinjauan bagaimana caranya untuk kita dapat membantu usahawan-usahawan menembusi pasaran bukan sahaja di dalam negara malah diluar negara juga. -PAHANGMEDIA

