Oleh : Nur Saadah Artika
Foto : Ezzatul Syafiqa Asmawai
KUANTAN, 15 MEI 2026 : Kerajaan Pahang komited meneroka potensi penggunaan susu getah sebagai sumber biofuel alternatif bagi menggantikan bahan api berasaskan karbon seperti petrol dan diesel, namun teknologi tersebut masih berada di peringkat awal penyelidikan dan pembangunan (R&D).
Pengerusi Jawatankuasa Pelaburan, Perindustrian, Sains, Teknologi dan Inovasi Negeri Pahang, YB Dato’ Mohamad Nizar Dato’ Sri Mohamad Najib berkata, usaha itu selari dengan aspirasi peralihan kepada tenaga hijau, khususnya dalam menghadapi ketidaktentuan geopolitik global yang memberi kesan kepada sektor tenaga dan ekonomi dunia.
Menurut beliau, berdasarkan maklum balas daripada RISDA, kajian biofuel berasaskan getah sedang dilaksanakan dengan kerjasama beberapa institusi pengajian tinggi tempatan termasuk Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA).
“Ketika ini, kajian berkaitan biofuel berasaskan getah masih berada di peringkat awal R&D dan belum bersedia untuk dikomersialkan.
“Ia melibatkan penelitian menyeluruh dari segi keupayaan teknologi, daya maju ekonomi, kos pengeluaran serta impaknya terhadap keseluruhan industri getah negara,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tras, YB Tengku Zulpuri Shah Raja Puji pada Mesyuarat Pertama Penggal Ke-5 Dewan Negeri Pahang Ke-15 di Wisma Sri Pahang, di sini hari ini.
Tambah beliau, pendekatan berfasa akan diambil bagi memastikan peralihan kepada tenaga alternatif dapat dilaksanakan secara mampan tanpa menjejaskan sektor sedia ada.
Dalam pada itu, beliau menegaskan aspek sekuriti makanan negeri kekal menjadi keutamaan kerajaan negeri bersama RISDA.
“Antara langkah yang diperkukuh termasuk menggalakkan pertanian integrasi dalam kalangan pekebun kecil getah melibatkan tanaman makanan dan penternakan kecil, selain penyediaan bantuan input pertanian serta peningkatan keupayaan pengeluaran tempatan.
“Pendekatan ini bukan sahaja praktikal, malah mampu memberi impak segera kepada pendapatan pekebun kecil di samping memastikan kestabilan bekalan makanan negeri,” katanya. -PAHANGMEDIA

