Oleh : Norhafizan Zulkifli
Foto : Ezzatul Syafiqa Asmawai
KUANTAN, 15 MEI 2026 : Tanah yang diceroboh secara haram yang telah diambil tindakan penguatkuasaan oleh Kerajaan Pahang tidak akan dibiarkan terbiar, sebaliknya akan dimajukan semula secara terancang.
YAB Menteri Besar Pahang, Dato’ Sri Diraja Haji Wan Rosdy Wan Ismail berkata, tanah berkenaan akan diserahkan kepada syarikat berkaitan kerajaan (GLC) negeri atau agensi berkaitan untuk dibangunkan mengikut kesesuaian.
Menurut beliau, bagi kawasan yang melibatkan masyarakat Orang Asli, tanah tersebut akan diserahkan kepada Orang Asli Corporation (ORACO) bagi memastikan ia dapat dimanfaatkan secara lebih tersusun dan memberi pulangan.
“Ia pelbagai pendekatan, ada yang kita tebang terus, ada yang kita ambil dan serahkan kepada GLC negeri. Jika melibatkan kawasan Orang Asli, kita serahkan kepada ORACO.
“Maknanya kita tidak tebang begitu sahaja. Tanah ini sebenarnya boleh menjana hasil kepada Kerajaan Negeri. Alhamdulillah, setakat ini semua kawasan yang diserahkan kepada GLC negeri atau Perbadanan Setiausaha Kerajaan (PSK) telah berjaya menjana hasil serta membuka peluang pekerjaan kepada masyarakat setempat,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan tambahan daripada Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Lantikan, YB Tuan Mohd Fadzly Mohd Ramly pada Mesyuarat Pertama Penggal Ke-5 Dewan Negeri Pahang ke-15 di Wisma Sri Pahang, di sini hari ini.
Tambah beliau, Kerajaan Negeri juga terbuka mempertimbangkan permohonan daripada syarikat lain yang mempunyai keupayaan serta modal mencukupi untuk membangunkan kawasan berkenaan.
Sementara itu, beliau memaklumkan Unit Penguatkuasaan Negeri Pahang (UPNP) yang ditubuhkan pada 15 Oktober 2019 telah memainkan peranan penting dalam membanteras pencerobohan tanah haram di negeri ini.
Sehingga kini, UPNP telah melaksanakan operasi pemusnahan melibatkan kawasan seluas 4,884 ekar (1,976 hektar) di seluruh negeri, selain menyita jentera, kenderaan dan peralatan bernilai kira-kira RM16.55 juta.
Dalam tempoh sama, sebanyak 356 kes pendakwaan direkodkan dengan kutipan denda dan kompaun berjumlah RM7.17 juta.
Beliau menjelaskan, tindakan penguatkuasaan dilaksanakan mengikut Seksyen 425 Kanun Tanah Negara (KTN) melibatkan kesalahan menceroboh tanah kerajaan, membersihkan kawasan, menanam tanaman secara haram serta menebang hasil hutan tanpa kebenaran.
Mengulas isu pemutihan tanah haram di Cameron Highlands, beliau berkata kerajaan negeri mengambil pendekatan lebih tersusun dengan menubuhkan Perbadanan Kemajuan Cameron Highlands (PKCH) bagi mengawal dan menyelia aktiviti pertanian di kawasan tersebut.
Katanya, peneroka terlibat diminta mendaftar serta memohon Lesen Pendudukan Sementara (TOL) bagi membolehkan mereka meneruskan aktiviti pertanian secara sah.
“Kita ambil pendekatan berhemah untuk yang berskala kecil kerana ini sumber rezeki mereka. Namun, terhadap sindiket kita tidak akan berkompromi.
“Tindakan penguatkuasaan akan diteruskan kerana ini adalah tanah kerajaan dan menjadi tanggungjawab kita memastikan tiada pencerobohan haram berlaku,” katanya. -PAHANGMEDIA

