Oleh : Syafiqah Jamaluddin
Foto : Ezzatul Syafiqa Asmawai
KUANTAN, 14 MEI 2026 : Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) di Pahang terus menunjukkan prestasi cemerlang melalui peningkatan kecekapan perkhidmatan, tindakan pantas terhadap aduan rakyat serta peluasan penggunaan digital dalam pentadbiran, selaras dengan aspirasi kerajaan negeri.
Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan, Alam Sekitar dan Teknologi Hijau Negeri Pahang, YB Dato’ Haji Mohammad Fakhruddin Mohd Ariff berkata, komitmen semua PBT dan penjawat awam di negeri ini berada pada tahap tinggi dalam melaksanakan tanggungjawab masing-masing.
“Semua PBT dan penjawat awam di Negeri Pahang telah melaksanakan tugas dengan penuh komitmen, dedikasi dan amanah dalam memastikan kesejahteraan rakyat serta kelestarian kawasan pentadbiran terus dipelihara,” katanya ketika sesi penggulungan pada Mesyuarat Pertama Penggal Ke-5 Dewan Negeri Pahang Ke-15 di Wisma Sri Pahang, di sini hari ini.
Menurut beliau, beberapa PBT turut mencatat kejayaan membanggakan apabila menerima pengiktirafan di peringkat kebangsaan dan antarabangsa.
“Antaranya, Majlis Bandaraya Kuantan menerima ASEAN Clean Tourist City Award 2026–2028, manakala Majlis Daerah Jerantut dianugerahkan Bandar Paling Mampan 2025.
“Selain itu, Majlis Perbandaran Temerloh, Majlis Perbandaran Pekan Bandar Diraja dan Majlis Daerah Rompin masing-masing menerima Anugerah Bandar Mampan 2025,” katanya.
Dalam aspek pembangunan bandar pintar, lima PBT turut menerima penarafan Smart City Early Adopter, iaitu Majlis Bandaraya Kuantan, Majlis Perbandaran Temerloh, Majlis Perbandaran Bentong, Majlis Perbandaran Pekan Bandar Diraja dan Majlis Daerah Lipis.
Dalam pada itu, beliau memaklumkan urus tadbir negeri terus diperkukuh berlandaskan undang-undang serta prinsip ketelusan, sekali gus menyumbang kepada pencapaian Indeks Perpaduan Nasional (IPNas) 2025 yang mencatatkan skor tinggi iaitu 0.817.
Kerajaan Negeri turut merakamkan penghargaan kepada semua pihak atas usaha berterusan dalam memastikan Pahang terus maju, stabil dan sejahtera. -PAHANGMEDIA

