Oleh: Aimi Syafiqa Khairi
Foto : Ezzatul Syafiqa Asmawai
KUANTAN, 14 MEI 2026 : Kerajaan Pahang komited memperkukuh pelaksanaan inisiatif Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM) bagi meningkatkan minat serta penyertaan pelajar di peringkat sekolah.
Pengerusi Jawatankuasa Pelaburan, Perindustrian, Sains, Teknologi dan Inovasi Negeri Pahang, YB. Dato’ Mohamad Nizar Dato’ Sri Mohamad Najib berkata, usaha tersebut diperkasa melalui kerjasama strategik antara Kerajaan Negeri dan Kerajaan Persekutuan menerusi Jawatankuasa Pemandu Bakat STI bersama Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI).
Menurut beliau, kerjasama berkenaan menjadi platform penyelarasan strategik secara pendekatan whole-of-government bagi memastikan pembangunan bakat STI dilaksanakan secara lebih berfokus, tersusun dan berimpak tinggi.
“Melalui kerjasama ini, Negeri Pahang dijangka mendapat manfaat dari segi peluasan akses program STEM, pengukuhan bakat pelajar dan guru serta pembangunan tenaga kerja mahir yang bersedia memenuhi keperluan industri masa hadapan,” katanya ketika sesi penggulungan pada Mesyuarat Pertama Penggal Ke-5 Dewan Negeri Pahang Ke-15 di Wisma Sri Pahang, di sini, hari ini.
Dalam pada itu, beliau memaklumkan Kerajaan Negeri turut memberi perhatian serius terhadap pelaksanaan Jelajah STEM Negeri Pahang sebagai pendekatan turun padang untuk membawa aktiviti sains, teknologi dan inovasi lebih dekat kepada pelajar di seluruh daerah.
“Program ini dilaksanakan dengan kerjasama syarikat swasta tempatan dan berperanan memperluas pendedahan pelajar terhadap STEM melalui pendekatan lebih menarik, mudah difahami serta bersifat hands-on.
“Ia juga penting bagi memastikan peluang pendidikan dan pendedahan STEM tidak hanya tertumpu di kawasan bandar, sebaliknya diperluaskan kepada pelajar luar bandar,” katanya.
Sehingga kini, Jelajah STEM Negeri Pahang telah memberi impak kepada seramai 25,789 pelajar daripada 176 sekolah di seluruh negeri.
Tambah beliau, kejayaan pelaksanaan program itu turut menjadi contoh kepada negeri lain apabila model Jelajah STEM Pahang telah diperluaskan ke Negeri Sembilan, Kuala Lumpur dan Selangor pada tahun ini.
“Di Pahang, program ini telah dilaksanakan di daerah Kuantan, Cameron Highlands, Pekan, Temerloh dan Raub melibatkan modul seperti teknologi kecerdasan buatan (AI), dron, metaverse serta sains iklim secara bersemuka dan dalam talian,” katanya. -PAHANGMEDIA

