Oleh : Syafiqah Jamaluddin
Foto : Ezzatul Syafiqa Asmawai
KUANTAN, 13 MEI 2026 : Program Anggun Maju yang dilaksanakan Kerajaan Negeri Pahang dilihat berperanan membantu meningkatkan taraf ekonomi wanita, khususnya dalam kalangan golongan B40 menerusi pendekatan yang menyeluruh dan praktikal.
Pengerusi Jawatankuasa Kebajikan Masyarakat, Pembangunan Wanita dan Keluarga Negeri Pahang, YB. Dato’ Sabariah Saidan berkata, program berkenaan memberi tumpuan kepada pemerkasaan ekonomi wanita dengan menyediakan pelbagai latihan kemahiran kepada peserta.
“Program ini memberi tumpuan kepada pemerkasaan ekonomi wanita melalui latihan kemahiran seperti keusahawanan, pengurusan kewangan, pembangunan produk dan pemasaran termasuk penggunaan platform digital,” katanya.
Menurut beliau, peserta turut dibantu dari segi akses kepada modal permulaan dan peluang menjana pendapatan menerusi bimbingan perniagaan selain jaringan sokongan bersama agensi kerajaan, pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan sektor swasta.
“Ini membolehkan wanita B40 bukan sahaja memulakan perniagaan kecil, malah berupaya mengembangkan sumber pendapatan secara berterusan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jenderak, YB Dato’ Rodzuan Zaaba pada Mesyuarat Pertama Penggal Ke-5 Dewan Negeri Pahang Ke-15 di Wisma Sri Pahang.
Program Anggun Maju ini turut memberi penekanan kepada peningkatan keyakinan diri dan keupayaan wanita untuk berdikari melalui ilmu, kemahiran serta sokongan berterusan bagi membantu mereka menjana pendapatan sendiri dan meningkatkan taraf hidup keluarga. -PAHANGMEDIA

