Oleh : Aimi Syafiqa Khairi
Foto : Farizul Hafiz Awang
KUANTAN, 12 MEI 2026 : Projek pembangunan Lapangan Terbang Antarabangsa Kuantan di Gebeng terus berada dalam perancangan rapi Kerajaan Negeri Pahang dengan fokus diberikan kepada pemuktamadan aspek teknikal, struktur pelaksanaan serta penglibatan pelabur strategik.
Pengerusi Jawatankuasa Pelaburan, Perindustrian, Sains, Teknologi dan Inovasi Negeri Pahang, YB. Dato’ Mohamad Nizar Dato’ Sri Mohamad Najib berkata, projek tersebut berada pada peringkat pemuktamadan keperluan teknikal, struktur pelaksanaan serta penglibatan pelabur strategik setakat ini.
“Dalam masa yang sama, pelaksanaannya adalah tertakluk kepada pematuhan syarat teknikal yang ketat oleh agensi-agensi Persekutuan yang berkaitan, termasuk International Civil Aviation Organization (ICAO), Federal Aviation Administration (FAA), Civil Aviation Authority of Malaysia (CAAM) serta Kementerian Pengangkutan Malaysia (MOT), khususnya melibatkan aspek kawal selia, keselamatan dan piawaian operasi penerbangan antarabangsa,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Cheka, YB Dato’ Sri Haji Tuan Ibrahim Tuan Man pada Mesyuarat Pertama Penggal Ke-5 Dewan Negeri Pahang Ke-15 di Wisma Sri Pahang.
Tambahnya, perancangan projek tersebut perlu dilakukan secara teliti bagi memastikan setiap aspek mematuhi piawaian yang ditetapkan oleh CAAM.
“Perancangan perlu dilakukan secara teliti dan tidak boleh tergesa-gesa kerana kita perlu mematuhi piawaian daripada pihak CAAM bersama agensi-agensi kawal selia memandangkan ia melibatkan soal keselamatan dan nyawa penumpang, selain lapangan terbang ini dijangka menerima kira-kira dua juta penumpang setiap tahun.
“Oleh itu, kita perlu mengambil masa yang sebaiknya dari perspektif Kerajaan Negeri supaya projek ini berjalan lancar dan insya-Allah akan ada pengumuman menarik oleh pihak pemaju dalam masa terdekat ini,” katanya.
Menurut beliau, Kerajaan Negeri Pahang sedang melaksanakan libat urus secara berterusan bersama pihak pemaju bagi memastikan setiap keperluan teknikal dipenuhi sebelum pelaksanaan fizikal diteruskan.
“Kerajaan Negeri bersama pihak pemaju sedang melaksanakan libat urus berterusan dengan semua agensi berkaitan bagi memastikan setiap keperluan teknikal dipenuhi sepenuhnya sebelum pelaksanaan fizikal diteruskan,” katanya. -PAHANGMEDIA

