Oleh : Norhafizan Zulkifli
Foto : Farizul Hafiz Awang
KUANTAN, 12 MEI 2026 : Kerajaan Negeri Pahang memutuskan untuk menangguhkan sebarang kenaikan kadar atau pengenaan caj baharu oleh pihak berkuasa tempatan (PBT) buat sementara waktu susulan situasi geopolitik di Asia Barat yang berlaku kini.
Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan, Alam Sekitar dan Teknologi Hijau Negeri Pahang, YB. Dato’ Haji Mohammad Fakhruddin Mohd Ariff berkata, keputusan itu dibuat bagi mengelakkan rakyat terus terbeban dengan peningkatan kos sara hidup ketika ini.
Katanya, keputusan tersebut dipersetujui dalam Mesyuarat Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri kali ke-15 pada 29 April yang lalu.
“Bagi memastikan kesan yang minimun kepada rakyat akibat situasi tersebut, Kerajaan Pahang melalui mesyuarat Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri yang ke 15 pada 29 April 2026 telah bersetuju untuk kita menangguhkan sebarang kenaikan kadar atau pengenaan caj-caj baharu oleh pihak berkuasa tempatan untuk sementara waktu ini bagi mengelakkan kesan berangkai ataupun domino effect yang boleh menjejaskan dan membebankan rakyat.
“Keputusan ini berupaya untuk mengimbangi kesan kenaikan kos secara menyeluruh serta memilihara kesejahteraan rakyat dan kelangsungan aktiviti dalam ekonomi negeri kita,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menjawab pertanyaan lisan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tioman, YB. Dato’ Sri Dr Haji Mohd Johari Hussain pada Mesyuarat Pertama Penggal Kelima Dewan Negeri Pahang ke-15 di Wisma Sri Pahang, di sini hari ini.
Tambahnya, keputusan tersebut juga dilihat mampu mengimbangi kesan kenaikan kos secara menyeluruh selain memelihara kesejahteraan rakyat dan kelangsungan aktiviti ekonomi negeri.
Menjawab soalan berkaitan cadangan untuk menambah gerai di kawasan strategik seperti restoran terapung di dataran Teluk Gading dan Cemara, beliau menjawab, pihak Majlis Daerah Rompin (MDR) merancang pembangunan dan penaiktarafan kawasan strategik di Dataran Teluk Gading, Kuala Rompin bagi merancakkan lagi ekonomi setempat dan sektor pelancongan.
Katanya, pihak majlis dengan kerjasama PlanMalaysia telah menyediakan laporan cadangan projek penaiktarafan Dataran Teluk Gading yang memberi fokus kepada kemasan serta reka bentuk baharu yang lebih unik dan menarik.
Pelaksanaan projek tersebut katanya akan dijalankan secara berfasa bagi menyokong pertumbuhan ekonomi tempatan seiring peningkatan daya tarikan pelancongan seperti rumah rakit yang kini menjadi tumpuan pengusaha dan pelancong dari dalam serta luar daerah Rompin. -PAHANGMEDIA

