Oleh : Nur Saadah Artika
Foto : Farizul Hafiz Awang
KUANTAN, 12 MEI 2026 : Sektor pelancongan Negeri Pahang terus menunjukkan prestasi memberangsangkan apabila Cameron Highlands merekodkan 2.1 juta pelancong sepanjang tahun 2025, dengan peningkatan sebanyak 52.45 peratus berbanding tahun sebelumnya.
Pengerusi Jawatankuasa Perpaduan, Pelancongan dan Kebudayaan Negeri Pahang, YB Puan Leong Yu Man berkata, Daerah Maran turut mencuri perhatian apabila mencatat peningkatan tertinggi iaitu sebanyak 147 peratus dengan kehadiran 15,220 pelancong.
“Untuk makluman Yang Berhormat, bagi tahun 2025 Cameron Highlands mencatatkan 2.1 juta pelancong iaitu peningkatan 52.45 peratus. Maran pula mencatatkan 15,220 pelancong dengan peningkatan sebanyak 147 peratus,” katanya ketika menjawab soalan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tanah Rata, YB Tuan Ho Chi Yang dalam Mesyuarat Pertama Penggal Ke-5 Dewan Negeri Pahang Ke-15 di Wisma Sri Pahang, hari ini.
Beliau berkata, peningkatan ketara di Maran dipercayai didorong oleh tarikan pelancongan berasaskan alam semula jadi, khususnya kawasan air terjun yang semakin mendapat perhatian pengunjung.
Katanya, tahun lalu turut menyaksikan pelbagai projek penambahbaikan dan naik taraf dilaksanakan di beberapa lokasi rekreasi air terjun di daerah itu termasuk Air Terjun Teladas, Che Minah Sayang dan Lubuk Yu bagi meningkatkan keselesaan serta pengalaman pelancong.
“Maran sememangnya mempunyai kelebihan dari segi tarikan air terjun. Kita juga menggalakkan penganjuran acara bagi menambah ketibaan pelancong ke Maran,” katanya ketika menjawab soalan tambahan ADUN Luit, YB Dato’ Mohd Sofian Abdul Jalil.
Dalam pada itu, beliau memaklumkan secara keseluruhan Pahang menerima 3.25 juta pelancong bagi tempoh Januari hingga Mac tahun ini, meningkat 1.63 peratus berbanding tempoh sama tahun lalu.
“Bagi suku pertama tahun ini iaitu Januari hingga Mac, Pahang mencatatkan 3.25 juta pelancong berbanding tempoh sama tahun 2025 dengan peningkatan sebanyak 1.63 peratus,” katanya.
Bagi menghadapi Tahun Melawat Malaysia 2026, Kerajaan Negeri akan memperkukuh promosi pelancongan domestik, memperluas penganjuran acara berimpak tinggi serta membangunkan produk pelancongan baharu termasuk Pahang Edu-Trail Trio.
“Kita akan terus memperkukuh promosi pelancongan domestik serta penganjuran acara berimpak tinggi, selain membangunkan pakej pelancongan kompetitif dan produk baharu seperti Pahang Edu-Trail Trio serta memperkasa modal insan industri pelancongan,” katanya. -PAHANGMEDIA

