Oleh : Syafiqah Jamaluddin
KUANTAN, 09 MEI 2026 : Masyarakat Orang Asli disarankan untuk menguasai teknologi kecerdasan buatan (AI) dan pembelajaran digital bagi memastikan komuniti itu tidak terus tercicir dalam arus pendidikan moden yang semakin berkembang pesat.
Ketua Pegawai Eksekutif Pahang Orang Asli Corporation (ORACO) Sdn. Bhd., YH. Dato’ Muhammad Olian Abdullah berkata, penguasaan teknologi kini bukan lagi satu pilihan, sebaliknya keperluan penting dalam memperkasakan sistem pendidikan terutama di sekolah-sekolah Orang Asli.

Katanya, pelajar serta guru daripada komuniti tersebut perlu didedahkan dengan kemahiran AI, teknologi maklumat dan komunikasi (ICT) serta kaedah pembelajaran digital supaya mampu menyesuaikan diri dengan perubahan landskap pendidikan semasa.
“Kerajaan Negeri Pahang berhasrat untuk mewujudkan sekolah-sekolah digital di perkampungan Orang Asli.
“Setakat ini dua sekolah iaitu Sekolah Kebangsaan (SK) Lanai dan SK Bukit Rok telah berjaya ditransformasikan sebagai sekolah digital menerusi kerjasama dengan Jabatan Pendidikan Negeri Pahang (JPNP),”katanya ketika ditemui selepas merasmikan program Tech-Ready Teachers: Empowering Orang Asli Education di Universiti Tunku Abdul Rahman (TAR UMT) Cawangan Pahang, di sini hari ini.

Kursus berkenaan diadakan untuk mendedahkan guru-guru daripada kalangan masyarakat orang asli dengan teknologi AI,teknologi pembelajaran ICT dan sebagainya kerana
Program dengan kerjasama Malaysian English Language Teaching Association (MELTA), ORACO, Jabatan Pendidikan Negeri Pahang (JPNP) dan Tunku Abdul Rahman University of Management and Technology (TARUMT) Kampus Pahang ini mencerminkan komitmen bersama dalam memperkukuhkan pendidikan komuniti Orang Asli melalui perkongsian kepakaran, sumber dan inovasi pendidikan
Program berkenaan menghimpunkan 34 guru Orang Asli dari kawasan pedalaman, bandar dan pinggir bandar bagi mengikuti latihan berkaitan penggunaan teknologi pendidikan dan aplikasi digital dalam proses pengajaran dan pembelajaran.
YH. Dato’ Muhammad Olian juga berkata, inisiatif itu membuktikan usaha memperkenalkan teknologi dalam pendidikan Orang Asli mampu dilaksanakan secara berperingkat dengan sokongan pelbagai pihak.
Tambahnya, program seumpama itu akan diperluaskan ke zon tengah dan zon utara Pahang bagi memberi peluang kepada lebih ramai guru meningkatkan kemahiran digital masing-masing.-PAHANGMEDIA

