Oleh : Norhafizan Zulkifli
Foto : Ezzatul Syafiqa Asmawai
KUANTAN, 08 MEI 2026 : Kebawah Duli Paduka Mulia Tengku Mahkota Pahang Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah Ibni Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah bertitah menyarankan Pahang agar mempergiatkan usaha penggunaan teknologi terkini dalam sistem pentadbiran kerajaan.
Titah Baginda, selari dengan slogan Pahang 1st, Pahang mesti menjadi yang paling terkehadapan dalam pendigitalan khususnya dalam bidang kecerdasan buatan (AI).
“Dalam arus perubahan dunia yang semakin pesat, khususnya dalam era digital ini, saya sendiri sering turun ke lapangan meninjau operasi di jabatan-jabatan kerajaan bagi melihat sendiri tahap penyampaian perkhidmatan kepada rakyat.
“Saya mendapati bahawa usaha pemodenan infrastruktur, teknologi maklumat dan komunikasi perlu dipergiat dan diberi keutamaan,” titah Paduka Baginda ketika berkenan berangkat bagi menyempurnakan Istiadat Pembukaan Mesyuarat Pertama Penggal ke-5 Dewan Negeri Pahang ke-15 bertempat di Wisma Negeri Pahang, di sini hari ini.
Baginda dalam titahnya berharap agar penggunaan aplikasi seperti Pahang Go diperluaskan dalam memudahkan urusan rakyat.
“Kalau dahulu, nak beli carian rasmi tanah, kena pergi ke pejabat tanah, namun sekarang, dah boleh beli melalui aplikasi Pahang Go sahaja. Tapi jangan terhenti setakat itu.
“Paling mudah, nak semak permohonan tanah pun tak perlulah rakyat nak ulang alik sentiasa ke pejabat tanah. Digitalkan proses-proses ini. Cukup dengan tekan satu butang, kita dah tahu dekat mana permohonan kita sekarang,” titah Baginda.
Baginda turut menegaskan supaya penggunaan kertas dalam pentadbiran kerajaan dikurangkan dengan memanfaatkan sistem digital sepenuhnya.
“Cuba lihat apa yang boleh ditambah baik. Kurangkan penggunaan kertas. Minit mesyuarat dan ulasan-ulasan teknikal ini semua dah boleh buat melalui sistem sahaja,” titah Baginda lagi. -PAHANGMEDIA

