Oleh : Aimi Syafiqa Khairi
Foto : Farizul Hafiz Awang
KUANTAN, 08 MEI 2026 : Kebawah Duli Paduka Mulia Tengku Mahkota Pahang, Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah Ibni Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah menzahirkan penghargaan terhadap pencapaian ekonomi Negeri Pahang yang terus mencatatkan prestasi memberangsangkan.
Baginda bertitah, kutipan hasil negeri bagi tahun 2025 terus mencatatkan jumlah melebihi RM1 bilion sekali gus mengekalkan kejayaan cemerlang untuk empat tahun berturut-turut sejak 2022.
“Pertumbuhan keluaran dalam negeri kasar sebanyak 5.7 peratus dengan nilai ekonomi mencecah RM68 bilion sekali gus meletakkan Pahang dalam kalangan empat negeri terbaik pada tahun 2024.
“Lebih membanggakan, dalam tempoh 2019 sehingga 2024, ekonomi negeri telah meningkat sebanyak 23 peratus yang mencerminkan keupayaan negeri ini untuk bangkit dan berdaya saing dalam menghadapi cabaran global,” titah baginda.
Baginda bertitah demikian pada Istiadat Pembukaan Mesyuarat Pertama Penggal Ke-5 Dewan Negeri Pahang Ke-15 di Wisma Sri Pahang, hari ini.
Dalam pada itu, baginda menzahirkan rasa bangga apabila kerajaan berjaya menarik pelaburan komited sebanyak RM18.04 bilion pada tahun lalu.
“Begitu juga dengan syarikat-syarikat berkaitan kerajaan negeri yang turut menyumbang sebanyak RM3.16 bilion kepada ekonomi negeri. Saya mahu syarikat berkaitan kerajaan negeri terus diperkasakan agar menjadi pemacu utama ekonomi negeri ini,” titah baginda. -PAHANGMEDIA

