Oleh : Aimi Syafiqa Khairi
Foto : Farizul Hafiz Awang
KUANTAN, 08 MEI 2026 : Kebawah Duli Paduka Mulia Tengku Mahkota Pahang, Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah Ibni Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah menzahirkan ucapan tahniah kepada Kerajaan Pahang atas langkah proaktif yang diambil dalam usaha meringankan beban rakyat susulan konflik geopolitik yang berterusan dirantau asia barat.
Baginda bertitah, pelaksanaan pelbagai inisiatif diyakini mampu membantu meringankan beban rakyat yang terkesan dengan tekanan kos sara hidup semasa.
“Penyediaan peruntukan bakul makanan sebanyak RM15,000 seminggu untuk semua 42 Dewan Negeri, pelaksanaan bekerja dari rumah untuk kakitangan pentadbiran kerajaan serta pemberian pelbagai inisiatif berbentuk baucar sedikit sebanyak pasti dapat membantu.
“Saya mahukan kerajaan saya menggandakan lagi usaha ini. Ingat, kesejahteraan rakyat harus terus terpelihara, barulah kemakmuran negeri dapat dikekalkan,” titah baginda.
Baginda bertitah demikian pada Istiadat Pembukaan Mesyuarat Pertama Penggal Ke-5 Dewan Negeri Pahang Ke-15 di Wisma Sri Pahang, hari ini.
Dalam pada itu, baginda menyeru agar Negeri Pahang tidak sekadar menjadi pemerhati, sebaliknya tampil sebagai negeri yang bersedia dan berdaya tahan dalam mendepani cabaran tersebut.
“Untuk menghadapi cabaran ini, saya mahu negeri saya tidak sekadar menjadi pemerhati tetapi bertindak sebagai negeri yang bersedia dan berdaya tahan.
“Tekanan inflasi yang dirasai oleh rakyat di Negeri Pahang menuntut pendekatan yang lebih menyeluruh, berkesan dan responsif,” titah baginda. -PAHANGMEDIA

