Oleh : Aimi Syafiqa Khairi
Foto : Farizul Hafiz Awang
KUANTAN, 07 MEI 2026 : Proses kelewatan kerja pembaikan jalan rosak khususnya melibatkan Jalan Persekutuan di Negeri Pahang berpunca daripada proses penilaian kerosakan serta kelulusan peruntukan di peringkat Persekutuan.
Menurut Pengerusi Jawatankuasa Kerja Raya, Pengangkutan dan Kesihatan Negeri Pahang, YB. Dato’ Ir. Razali Kassim, keadaan itu berlaku kerana setiap kerja pembaikan jalan Persekutuan perlu melalui proses penilaian teknikal dan kelulusan peruntukan sebelum tindakan dapat dilaksanakan.
“Volume kenderaan yang banyak sekali adalah jalan Persekutuan dan proses aduan rosak biasanya pihak Jabatan Kerja Raya (JKR) akan turun padang dan menilai kerosakan itu. Sebab itu, mereka akan menyediakan Notice Of Defect (NOD) dengan anggaran kos.
“Kalau jalan Persekutuan biasanya NOD ini akan dihantar ke Cawangan Senggara Fasiliti Jalan (CSFJ) di peringkat Persekutuan. Jadi kerja tidak dapat dilaksanakan selagi tidak mendapat peruntukan daripada ibu pejabat JKR. Itulah biasanya yang menyebabkan kelewatan.
“Kerajaan Negeri Pahang tidak boleh menggunakan peruntukan daripada kerajaan negeri sendiri untuk membaiki jalan Persekutuan. Ia menjadi satu kesalahan apabila Kerajaan Negeri melaksanakan kerja-kerja baik pulih di jalan Persekutuan,” katanya.
Tambahnya, setiap jalan di negeri ini mempunyai pihak yang bertanggungjawab terhadap penyelenggaraan dan pengurusannya.
“Sebenarnya jalan-jalan ini ada pihak yang menyelaraskan jalan. Satunya kita ada Jalan Persekutuan yang merupakan jalan penghubung antara negeri-negeri dan diselaraskan oleh Kerajaan Persekutuan ataupun di bawah Kementerian Kerja Raya (KKR).
“Kedua, kita ada Jalan Negeri iaitu jalan utama di dalam negeri yang menghubungkan daerah ke daerah ataupun bandar-bandar kecil. Kita di Pahang ini antara negeri yang paling panjang jalannya. Jalan Persekutuan lebih kurang 8,000 kilometer (km) manakala Jalan Negeri ada lebih kurang 2,500 km.
“… dan kebanyakan jumlah kenderaan yang banyak sekali ialah di Jalan Persekutuan kerana jalan ini merupakan jalan penghubung antara negeri-negeri lain. Jadi sebab itu volume trafik di laluan federal ini memang tinggi,” katanya.
Dalam pada itu, beliau menyatakan Kerajaan Negeri Pahang sentiasa berusaha mempercepatkan proses mendapatkan peruntukan bagi kerja pembaikan jalan yang mengalami kerosakan serius dan memerlukan tindakan segera.
“Dari pihak Kerajaan Negeri Pahang ada usaha mempercepatkan perolehan peruntukan apabila berlaku kerosakan yang serius dan memerlukan pembaikan segera.
“Kami sentiasa berhubung dengan pihak di peringkat tertinggi iaitu Kementerian Kerja Raya dan Jabatan Kerja Raya itu sendiri,” katanya. -PAHANGMEDIA

