Oleh : Norhafizan Zulkifli
Foto : Farizul Hafiz Awang
KUANTAN, 07 MEI 2026 : Pertandingan Piala Tunku Azizah (PTA) kembali dianjurkan tahun ini dengan menampilkan kelainan apabila memfokuskan penghasilan kain samping, tanjak dan bengkung berbanding kain samping dan sarung bercorak beragi pada edisi sulung tahun lalu.
Kebawah Duli Paduka Baginda Tengku Ampuan Pahang Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah Binti Almarhum Sultan Iskandar Al-Haj bertitah, pertandingan anjuran Yayasan Tenun Pahang Diraja (YTPD) dengan kerjasama Kraftangan Malaysia dan Muzium Pahang itu bertujuan mengangkat martabat Tenun Pahang Diraja serta memberi pengiktirafan kepada artisan tempatan.
Titah Paduka Baginda, pertandingan itu akan berlangsung sempena Temasya Warisan Pahang 2026 yang dijadual diadakan di Muzium Seni Kontemporari (MOCA), di sini dari 29 Ogos hingga 7 September depan.

“Tahun ini kita buka kepada seluruh rakyat Malaysia, mereka mesti menenun satu set samping, bengkung dan tanjak yang untuk dipakai di majlis-majlis rasmi di istana ya. Kalau nak pakai diluar pun boleh juga.
“Untuk pertandingan kali ini, kalau tahun lepas (penggunaan teknik) kita adalah beragi, untuk tahun ini adalah ikat Pakan,” titah Paduka Baginda dalam sidang media yang diadakan di MOCA, di sini hari ini.
Turut hadir ialah YAM Tengku Puteri Raja Tengku Puteri Jihan Azizah ‘Athiyatullah binti Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah; Timbalan Ketua Pengarah Kraftangan Malaysia, Encik Abdul Halim Ali; Pengarah Muzium Pahang, Dato’ Ahmad Farid Abdul Jalal; Pengarah Kraftangan Malaysia Cawangan Pahang, Encik Juhari Azmi dan Setiausaha Kehormat YTPD, Dato’ Zuraida Mokhtar.

Paduka Baginda bertitah, penggunaan motif tradisi Tenun Pahang seperti sepit udang serta corak bunga colek bersaiz 50 sen turut diberi penekanan bagi mengekalkan identiti asli tenunan negeri itu.
Katanya, semua peserta diwajibkan menghantar hasil tenunan dalam satu helaian kain panjang dan bukannya dipotong berasingan bagi memudahkan proses penjurian serta tujuan pameran.
“Syaratnya dia kena hantar sekeping panjang. Kalau dia hantar saya untuk bengkung satu keping, untuk tanjak dia potong, itu kita tidak terima. Disqualify. Dia mesti hantar sekeping terus. Makna kita nak pamerkan panjang-panjang,” titah Paduka Baginda.
Titah Paduka Baginda lagi, hasil karya yang menggunakan pewarna asli, teknik dua muka serta double ikat akan diberikan markah tambahan oleh panel juri yang diketuai YAM Tengku Puteri Raja Tengku Puteri Jihan Azizah ‘Athiyatullah.

Sebanyak RM151,000 diperuntukkan bagi hadiah pertandingan dengan juara bakal membawa pulang wang tunai RM30,000 berserta piala dan sijil.
Tempat kedua pula menawarkan RM20,000 manakala tempat ketiga menerima RM10,000 selain lima hadiah saguhati bernilai RM5,000 setiap satu.
Selain itu, enam anugerah khas The Queen’s Choice turut menawarkan RM5,000 setiap satu manakala 12 hadiah penghargaan bernilai RM3,000 turut disediakan.
Penyertaan dibuka kepada semua warganegara Malaysia berusia 18 tahun ke atas sama ada secara individu atau berkumpulan tidak melebihi tiga orang ahli di mana penyertaan perlu dihantar sebelum 22 Mei ini manakala karya lengkap perlu diserahkan selewat-lewatnya pada 15 Ogos depan. -PAHANGMEDIA

