Foto : Farizul Hafiz Awang
KUANTAN, 06 MEI 2026 : Universiti Al-Quran Al-Sultan Abdullah Ahmad Shah Pahang (UNIQSAAS) terus mengorak langkah memperkukuh jaringan antarabangsa apabila memeterai Letter of Intent (LoI) bersama Universiti Al-Wasatiyyah, Si’un Hadramaut, Yaman dalam usaha memperkasa bidang pendidikan dan pengajian Islam.
Majlis menandatangani perjanjian tersebut menyaksikan Naib Canselor UNIQSAAS, YH. Profesor Dato’ Dr. Haji Mohd Zawavi Zainal Abidin menurunkan tandatangan bersama wakil Universiti Al-Wasatiyyah, Sheikh Niyaz bin Ahmad Ali Abdullah Al Adeni.
Majlis berkenaan turut disaksikan oleh YAB Menteri Besar Pahang, Dato’ Sri Diraja Haji Wan Rosdy Wan Ismail.
Hadir sama, YB Setiausaha Kerajaan Pahang, Dato’ Sri Nazri Abu Bakar; YB Pegawai Kewangan Negeri Pahang, Dato’ Indera Haji Fadzilla Haji Salleh serta Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Agama Islam, Kemajuan Desa dan Hal Ehwal Orang Asli Negeri Pahang, YB Dato’ Sri Syed Ibrahim Syed Ahmad.

Menurut YH. Profesor Dato’ Dr. Haji Mohd Zawavi, kerjasama strategik itu bakal membuka lebih banyak peluang khususnya dalam pertukaran pelajar dan tenaga pengajar antara kedua-dua institusi.
“Melalui LoI ini, kita mengharapkan pelajar Universiti Wasatiyah termasuk pelajar Malaysia di Yaman dapat menyambung pengajian mereka di UNIQSAAS.
“Selain itu, kita juga berpotensi melaksanakan pertukaran tenaga pengajar dan berkongsi kepakaran, khususnya dalam bidang pengajian agama yang menjadi kekuatan Yaman,” katanya.
Beliau berkata, inisiatif tersebut merupakan antara langkah penting dalam usaha memperkasakan UNIQSAAS sebagai universiti Al-Quran pertama di Malaysia.
“Usaha ini bukan sekadar simbolik, sebaliknya kita mahu ia direalisasikan demi memenuhi hasrat pemegang taruh termasuk Kebawah Duli Paduka Baginda Sultan Pahang, kerajaan negeri dan rakyat.
“Harapan kita agar kerjasama ini mampu memberi manfaat besar kepada kedua-dua institusi serta memperkukuh lagi pembangunan pendidikan Islam,” katanya. -PAHANGMEDIA

