Oleh : Norhafizan Zulkifli
Foto : Ezzatul Syafiqa Asmawai
KUANTAN, 05 MEI 2026 : Kebawah Duli Paduka Baginda Sultan Pahang Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah Ibni Almarhum Sultan Haji Ahmad Shah berkenan menerima mengadap Menteri Kanan dan Penasihat Singapura, Tuan Lee Hsien Loong di Istana Abdulaziz, di sini, hari ini.
Keberangkatan tiba Paduka Baginda diiringi Kebawah Duli Paduka Baginda Tengku Ampuan Pahang Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah Binti Almarhum Sultan Iskandar Al-Haj serta Kebawah Duli Paduka Mulia Tengku Mahkota Pahang Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah Ibni Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.

Turut hadir ialah YB. Setiausaha Kerajaan Pahang, Dato’ Sri Nazri Abu Bakar dan Pengerusi Jawatankuasa Pelaburan, Perindustrian, Sains, Teknologi dan Inovasi Negeri Pahang, YB. Dato’ Mohamad Nizar Dato’ Sri Mohamad Najib.
Turut bersama mengadap ialah isteri Tuan Lee Hsien Loong, Puan Ho Ching dan Menteri di Kementerian Hal Ehwal Luar dan Kementerian Pembangunan Sosial dan Keluarga Singapura, Tuan Zhulkarnain Abdul Rahim.

Turut serta dalam rombongan ialah Ahli Parlimen Singapura, Cik Joan Pereira; Pesuruhjaya Tinggi Singapura ke Malaysia, Tuan Vanu Gopala Menon dan barisan pegawai Kementerian Hal Ehwal Luar Singapura.
Dalam pertemuan tersebut, Paduka Baginda berkenan meluangkan masa kira-kira satu jam bagi membincangkan pelbagai perkara termasuk potensi usahasama dan kerjasama strategik antara Negeri Pahang dan Singapura.

Perbincangan berkenaan turut menyentuh aspek pembangunan ekonomi, pelaburan serta peluang memperkukuh hubungan dua hala yang memberi manfaat kepada kedua-dua pihak.
Seusai sesi mengadap, Paduka Baginda berkenan menjemput delegasi melawat sekitar istana sebelum berangkat ke majlis santapan yang diadakan bagi meraikan kunjungan delegasi berkenaan.
Sesi mengadap itu merupakan antara pengisian utama dalam rangka lawatan rasmi delegasi berkenaan ke Negeri Pahang yang dijadual berlangsung selama tiga hari.
Delegasi tersebut tiba di negeri ini semalam dengan memulakan lawatan rasmi ke Pusat Konservasi Harimau Malaya (MTCC) sebagai destinasi pertama. -PAHANGMEDIA

