Oleh : Ummul Qistina Sofea
Foto : Shahrizar Azdhar
KUANTAN, 05 MEI 2026 : Klinik Kesihatan Sungai Soi (Jenis 3) yang baharu dijangka mula beroperasi pada Jun 2026, sekali gus bakal memberi manfaat kepada kira-kira 85,000 penduduk sekitar Kampung Soi, Kampung Kempadang dan kawasan sekitarnya.
Majlis penyerahan projek tersebut telah disaksikan oleh Pengerusi Jawatankuasa Kerja Raya, Pengangkutan dan Kesihatan Negeri Pahang, YB. Dato’ Ir. Razali Kassim.

Turut hadir, Setiausaha Bahagian Kanan, Bahagian Pembangunan Kementerian Kesihatan Malaysia, Datin Paduka Roslinah Md Jani; Pengarah Kesihatan Negeri Pahang, Dr. Hj Saiful Azlan bin Hj Shahrif; serta Pengurus Besar Kanan Pembinaan Pasukan Projek Persekutuan Negeri Pahang, Ir. Ts. Adnan bin Ladin.
Projek yang bermula pada Mac 2021 itu telah berjaya disiapkan dengan nilai keseluruhan RM25.5 juta.
Menurut YB. Dato’ Ir. Razali, klinik kesihatan jenis 3 ini menyediakan pelbagai perkhidmatan komprehensif termasuk rawatan pesakit luar, kesihatan ibu dan anak, pergigian serta perkhidmatan sokongan seperti X-Ray, makmal, fisioterapi, pemakanan dan rehabilitasi.

“Pagi ini, saya telah menyaksikan majlis penyerahan projek Klinik Kesihatan Sungai Soi, jadi projek ini bermula pada Mac 2021 dan telah dapat disiapkan pada tahun ini dan dijangka akan mula beroperasi pada Jun bulan depan, tahun 2026. Klinik ini jenis 3 bernilai RM25.5 juta dan dijangka dapat memberi manfaat kepada masyarakat di sekitar Kampung Soi, Kampung Kempadang dan sekitarnya lebih kurang 85,000 penduduk.
“Antara perkhidmatan yang disediakan di klinik ini adalah perkhidmatan pesakit luar, perkhidmatan ibu dan anak, perkhidmatan sokongan seperti X-Ray, makmal, fisioterapi, pemakanan, rehab dan perkhidmatan rawatan gigi,” katanya ketika ditemui pada Majlis Penyerahan Projek Klinik Kesihatan (Jenis 3) Dengan Kuarters Soi bertempat di Klinik Kesihatan Sungai Soi, hari ini.

Beliau berkata, sebelum ini penduduk sekitar mendapatkan rawatan di Klinik Desa Kempadang yang kemudiannya dinaik taraf kepada Klinik Komuniti sebelum pembinaan klinik baharu ini.
Dalam pada itu, beliau turut merakamkan penghargaan kepada Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan Jabatan Kerja Raya (JKR) atas kejayaan menyiapkan projek berkenaan walaupun berdepan cabaran pandemik COVID-19.
“Terima kasih kepada Kementerian Kesihatan Malaysia yang meluluskan dan merancang pelaksanaan projek ini serta kepada Jabatan Kerja Raya sebagai agensi pelaksana yang berjaya menyiapkannya walaupun berdepan cabaran COVID-19,” katanya. -PAHANGMEDIA

