PEKAN, 4 MEI 2026 : Kebawah Duli Paduka Baginda Sultan Pahang Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah Ibni Almarhum Sultan Haji Ahmad Shah berkenan bercemar duli berangkat ke Rumah Anak Yatim & Miskin Perempuan Darussalam Al Mukhtar, di sini hari ini.

Keberangkatan Paduka Baginda pada pukul 11 pagi turut diiringi Kebawah Duli Paduka Mulia Tengku Mahkota Pahang Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah Ibni Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.

Keberangkatan Paduka Baginda ke rumah berkenaan adalah untuk bertemu dan menyantuni kanak-kanak yang menghuni di situ serta berkenan memenuhi permintaan rakaman khas Program Bersamamu TV3 Istimewa Aidiladha bersama Paduka Baginda.

Pada kunjungan tersebut, Paduka Baginda turut berkenan menyempurnakan Majlis Penyerahan Zakat Perniagaan kepada 19 orang kanak-kanak dari Rumah Anak Yatim & Miskin Perempuan Darussalam Al Mukhtar serta 23 orang pelajar Maahad Tahfiz Tengku Ampuan Afzan. -PAHANGMEDIA
Sumber-KESULTANAN PAHANG

