Oleh: Aimi Syafiqa Khairi
KUANTAN, 4 MEI 2026 : Menteri Kanan Singapura, Lee Hsien Loong akan mengadakan lawatan rasmi ke Malaysia melibatkan Negeri Pahang selama lima hari bermula hari ini.
Lawatan tersebut diadakan atas jemputan Kebawah Duli Paduka Baginda Sultan Pahang Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah Ibni Almarhum Sultan Haji Ahmad Shah dan Kebawah Duli Paduka Baginda Tengku Ampuan Pahang Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah Binti Almarhum Sultan Iskandar Al-Haj.
Sepanjang berada di Pahang, beliau akan menghadap Kebawah Duli Paduka Sultan Pahang serta diraikan dalam satu majlis santapan tengah hari oleh baginda.
Kemudian, beliau turut akan mengadakan pertemuan dengan YAB. Menteri Besar Pahang, Dato’ Sri Diraja Haji Wan Rosdy Wan Ismail serta barisan kepimpinan Negeri.
Lawatan ini bertujuan untuk memperkukuh momentum hubungan dua hala, sekali gus mempererat jalinan kerjasama pelbagai bidang di perigkat Negeri.
Dalam rangka lawatan sama, beliau turut dijadualkan berkunjung ke Terengganu bagi mengadakan pertemuan dengan Menteri Besar Terengganu, Dato’ Seri Ir. Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar serta kepimpinan negeri berkenaan.
Sepanjang lawatan tersebut, beliau akan diiringi isterinya, Ho Ching; Menteri Undang-Undang merangkap Menteri Kedua Ehwal Dalam Negeri, Edwin Ting; Menteri Negara di Kementerian Ehwal Luar dan Kementerian Pembangunan Sosial dan Keluarga, Zhulkarnain Abdul Rahim serta pegawai dan Kementerian Ehwal Luar. -PAHANGMEDIA

