Oleh : Norhafizan Zulkifli
Foto : Farizul Hafiz Awang
KUANTAN, 02 MEI 2026 : Kerajaan Negeri Pahang terus cakna terhadap minat belia dalam sukan permotoran apabila memperoleh peruntukan RM500,000 daripada Kementerian Belia dan Sukan (KBS) bagi menaik taraf litar motosikal di Pekan.
Pengerusi Jawatankuasa Komunikasi dan Multimedia, Belia, Sukan dan Badan-badan Bukan Kerajaan Negeri Pahang, YB. Tuan Fadzli Mohamad Kamal berkata, usaha itu menjadi bukti kesungguhan Kerajaan Negeri dalam menyediakan kemudahan sukan yang semakin mendapat sambutan dalam kalangan belia negeri ini.
Katanya, projek naik taraf litar berkenaan akan dilaksanakan dalam masa terdekat dengan keutamaan diberikan kepada kerja baik pulih trek sebelum penambahbaikan kemudahan lain dilakukan.

“Alhamdulillah akhirnya dapat peruntukan ini dan kita akan baiki litar dahulu sebelum kita tambah baik kemudahan-kemudahan lain.
“Jadi terima kasih KBS, terima kasih Jabatan Belia dan Sukan (JBS) Negeri Pahang atas usaha ini dan ini sudah pastilah sebenarnya menyokong minat anak muda itu sendiri.
“Anak muda memang ramai cakap tak ada litar di Pahang ini, jadi litar trek motosikal ni mungkin sebagai permulaanlah. Nanti kita tengok keperluan-keperluan lain,” katanya ketika ditemui selepas Majlis Perasmian RXZ Fighter 3.0 bertempat di perkarangan Serambi Teruntum di sini hari ini.

Hadir sama, wakil penganjur yang juga merupakan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kemayan, YB Tuan Khaizulnizam Mohd Zuldin serta barisan penganjur program.
Penganjuran program RXZ Fighter 3.0 yang berlangsung selama dua hari bermula semalam itu berjaya menghimpunkan kira-kira 50,000 peminat sukan pemotoran seluruh negeri dan negara sekali gus turut mencerminkan perkembangan positif sukan permotoran di Pahang.
“Ia edisi ketiga, maknanya pelaksanaan pada tahun ketiga dan tak sangka pada permulaannya dahulu mungkin kita sendiri tak percaya acara ini boleh berlangsung di bumi Pahang. Jadi saya ucap syabas kepada rakan-rakan sayalah.

“Dan yang paling penting YAB. Menteri Besar Pahang, Dato’ Sri Diraja Haji Wan Rosdy Wan Ismail menyokong penuh pelaksanaan program ini,” ujarnya.
Mengulas penganjuran edisi seterusnya, beliau berkata, Kerajaan Negeri akan meneliti cadangan termasuk kemungkinan mengadakan acara di Pekan selepas siapnya litar berkenaan.
“Tapi saya tengok yang menepati ciri-ciri nak laksana ‘event’ besar ini… Kuantan. Sebab hotelnya, ‘homestay’nya, kemudahannya (seperti) kawasan lapang nak buat ‘event’ macam ini.
“Tempat lain itu setakat ini belum ada. Tapi kita tengok nanti cadangan-cadangan lain selepas ini,” katanya lagi. -PAHANGMEDIA

