Oleh: Norhafizan Zulkifli
Foto: Farizul Hafiz Awang
KUANTAN, 30 APRIL 2026 : Padang Stadium Hoki Indera Mahkota mendapat pengiktirafan International Hokey Federation (FIH), sekali gus meletakkan Negeri Pahang dalam kedudukan lebih kukuh untuk menganjurkan kejohanan hoki bertaraf antarabangsa.
Pengiktirafan itu adalah susulan kejayaan projek naik taraf stadium berkenaan yang siap sepenuhnya lebih awal daripada jadual dengan kos keseluruhan RM3,304,750.

Pengerusi Jawatankuasa Komunikasi dan Multimedia, Belia, Sukan dan Badan-badan Bukan Kerajaan Negeri Pahang, YB. Tuan Fadzli Mohamad Kamal berkata, penaiktarafan itu juga menjamin aspek keselamatan pemain melalui penggunaan turf terkini yang menepati piawaian antarabangsa.
“Saya ingat bukan sahaja padang, saliran di bawah padang itu pun dinaik taraf. Makna kata semua yang berkait dengan padang hoki ini semua barulah.
“Jadi saya dapat maklumat, difahamkan bahawa dengan turf yang baru ini lebih selamat kepada setiap pemain itu sendiri dan kita juga mendapat pengiktirafan daripada FIH.
“Maknanya padang hoki ini boleh menganjurkan kejohanan bertaraf antarabangsa,” katanya kepada media selepas Majlis Penyerahan Siap Projek Naik Taraf stadium tersebut di sini hari ini.

Majlis berkenaan menyaksikan sesi penyerahan siap kerja antara Pengarah JBS Pahang, Encik Nor Azli Mohamad Daud dan Jurutera JKR Daerah Kuantan, Puan Ir. Aida Amalina Abdullah.
Katanya, projek yang sepatutnya siap pada April ini berjaya diselesaikan lebih awal kira-kira dua bulan, sekali gus mencerminkan kecekapan pelaksanaan oleh agensi terlibat.
“Jadi saya amat berharap dengan kita adanya kemudahan terbaru yang telah dinaik taraf ini akan memberi kesempatan dan ruang kepada peminat-peminat hoki di Pahang untuk merencana lebih banyak kejohanan-kejohanan di peringkat nasional dan antarabangsa di Stadium Hoki ini.
“Jadi saya nak ucap terima kasih kepada pihak JKR (Jabatan Kerja Raya), pihak Jabatan Belia dan Sukan (JBS) Negeri Pahang, Majlis Bandaraya Kuantan (MBK), pihak SDO (Pejabat Pembangunan Negeri Pahang) dan juga pihak persatuan atas kerjasama dalam menjayakan usaha menaik taraf ini,” ujarnya.

Dalam pada itu, beliau turut mencadangkan agar beberapa aspek lain diberi perhatian termasuk penambahbaikan lampu limpah serta fasiliti sokongan seperti bilik persalinan bagi memastikan stadium tersebut benar-benar memenuhi keperluan penganjuran kejohanan bertaraf dunia.
Beliau turut menegaskan Kerajaan Negeri komited untuk terus menyokong pembangunan sukan berprestasi tinggi termasuk hoki, selain membuka ruang kepada cadangan penubuhan pasukan senior sekiranya mendapat sokongan pihak berkepentingan.
“Dan sudah pasti Kerajaan Negeri cukup mengambil berat dan prihatin tentang kemajuan sukan di negeri ini tambah pula melibatkan sukan-sukan yang menunjukkan prestasi yang cukup cemerlang.
“Selain daripada hoki, Pahang juga agak maju dan terkehadapan dalam sukan menembak misalnya, dan kita sedia berbelanja untuk sukan-sukan yang menunjukkan prestasi cemerlang,” katanya lagi. -PAHAGMEDIA

