Oleh : Norhafizan Zulkifli
Foto : Farizul Hafiz Awang
ROMPIN, 27 APRIL 2026 : Kerajaan Negeri Pahang sentiasa bersungguh-sungguh dalam membantu memperjuangkan hak peneroka FELDA di negeri ini, sekali gus berjaya menyelesaikan 99 peratus penyerahan surat hak milik tanah kepada golongan berkenaan.
YAB. Menteri Besar Pahang, Dato’ Sri Diraja Haji Wan Rosdy Wan Ismail berkata, setakat ini seramai 42,802 peneroka telah menerima geran masing-masing, manakala baki seramai 324 orang lagi dijangka diselesaikan sepenuhnya pada tahun ini.
Katanya, penyerahan surat hak milik itu bukan sahaja melibatkan aspek pemilikan tanah, malah berkait rapat dengan maruah serta masa depan peneroka dan keluarga mereka.

“Kita ada 42,802 peneroka yang telah terima geran. Ada baki lagi seramai 324 orang.
“Dan insyaAllah, yang baki ni akan kita selesaikan pada tahun ini juga, insyaAllah,” katanya ketika berucap pada Majlis Penyerahan Suratan Hakmilik Peneroka FELDA Selancar 1, 4 dan 5 serta FELDA Gugusan Keratong di Dewan Orang Ramai FELDA Selancar 5, di sini hari ini.
Pada majlis tersebut, seramai 425 peneroka FELDA Selancar 1, 4 dan 5 serta baki peneroka FELDA Gugusan Keratong menerima surat hak milik masing-masing.

Hadir sama, Pengerusi Jawatankuasa Kerja Raya, Pengangkutan dan Kesihatan Negeri Pahang, YB. Dato’ Ir. Razali Kassim; Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal FELDA, Koperasi dan Usahawan Negeri Pahang, YB. Dato’ Amizar Abu Adam; Pengerusi FELDA, Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek serta barisan ketua jabatan dan pemimpin setempat.
YAB. Dato’ Sri Diraja Haji Wan Rosdy dalam pada itu turut mengingatkan peneroka agar tidak melupakan sejarah penubuhan FELDA yang diasaskan oleh Allahyarham Tun Abdul Razak Hussein dalam usaha meningkatkan taraf hidup masyarakat luar bandar, khususnya orang Melayu.
Tambahnya, hasil perancangan tersebut telah membuka peluang kepada generasi peneroka untuk menikmati kehidupan lebih baik termasuk melanjutkan pelajaran ke peringkat lebih tinggi.

“Tetapi malangnya, tak semualah ya… kadang-kadang kita lupa ataupun kita sengaja dilupakan ataupun kita dimomokkan dengan persepsi dan sentimen dan menyebabkan ramai yang lupa akan roh perjuangan mengapa kita berada di sini sebagai peneroka,” ujarnya.
Sehubungan itu, beliau menyeru peneroka supaya terus bersatu dan bekerjasama dengan kerajaan bagi memastikan segala perancangan pembangunan dapat dilaksanakan dengan berkesan.
“Ini sangat penting. Kalau kita tidak bersama dengan kerajaan, kita tidak bersatu, yang rugi kita dan untung orang lain,” katanya lagi. -PAHANGMEDIA

