KUANTAN, 26 APRIL 2026 : Kebawah Duli Paduka Baginda Sultan Pahang Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah Ibni Almarhum Sultan Haji Ahmad Shah dan Kebawah Duli Paduka Baginda Tengku Ampuan Pahang Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah binti Almarhum Sultan Iskandar Al-Haj menzahirkan ucapan setinggi-tinggi tahniah kepada 146 orang pelajar serta pihak pengurusan Maahad Tahfiz, madrasah dan pondok atas kejayaan cemerlang dalam peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2025.
Paduka Baginda berdua bertitah, kejayaan ini mencerminkan kesungguhan, ketekunan serta komitmen tinggi para pelajar dalam menuntut ilmu, di samping dedikasi para guru dan pengurusan institusi yang tidak jemu mendidik serta membimbing ke arah kecemerlangan.
Kebawah Duli Paduka Baginda berdua turut menzahirkan rasa bangga atas pencapaian ini yang membuktikan bahawa institusi pendidikan Islam terus mampu melahirkan generasi berilmu, berakhlak mulia serta berdaya saing.
Paduka Baginda berdua mendoakan agar kesemua pelajar terus melakar kejayaan yang lebih gemilang pada masa hadapan, serta sentiasa diberkati dan dipermudahkan segala urusan dalam menimba ilmu dan menyumbang kepada agama, bangsa dan negara.
Sesungguhnya kejayaan ini diharap menjadi pemangkin semangat kepada seluruh pelajar untuk terus berusaha dengan penuh iltizam dalam mencapai kecemerlangan dunia dan akhirat. -PAHANGMEDIA
Sumber : KESULTANAN PAHANG

