Oleh : Ain Nadhirah Basha
KUANTAN, 24 APRIL 2026 : Pahang berjaya merekodkan Kadar Purata Tempoh Penginapan tertinggi di Malaysia sebanyak 76.3 peratus bagi tahun ini dan mengekalkan kedudukan berkenaan bagi tempoh tiga tahun berturut-turut.
Menurut satu kenyataan media oleh Tourism Pahang, pencapaian membanggakan ini direkodkan berdasarkan lebih 36,000 bilik penginapan berdaftar di seluruh negeri, berdasarkan data yang dikeluarkan oleh Bahagian Perancangan Strategik, Tourism Malaysia.
“Negeri Pahang sekali lagi membuktikan kekuatannya sebagai antara destinasi pelancongan utama negara apabila berjaya merekodkan Kadar Purata Tempoh Penginapan tertinggi di Malaysia, iaitu sebanyak 76.3 peratus bagi tempoh Januari hingga Disember 2025 tiga tahun berturut-turut.
“Ia sekali gus mencerminkan tahap keyakinan tinggi pelancong terhadap keunikan produk pelancongan, kemudahan penginapan serta pengalaman percutian yang ditawarkan di Negeri Pahang.
“Sebagai perbandingan, negeri-negeri lain yang turut mencatat kadar purata tempoh penginapan tertinggi ialah Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur 66.9 peratus, Pulau Pinang (58.6%), Wilayah Persekutuan Putrajaya (56.0%), Selangor (54.8%), dan Johor (54.2%),” menurut kenyataan berkenaan.
Dalam kenyataan sama, Pengerusi Jawatankuasa Perpaduan, Pelancongan dan Kebudayaan Negeri Pahang, YB Puan Leong Yu Man dipetik menyatakan bahawa pencapaian tersebut membuktikan bahawa Pahang terus menjadi pilihan utama pelancong.
“Pahang terus menjadi pilihan utama pelancong domestik mahupun antarabangsa yang mencari destinasi lengkap merangkumi alam semula jadi, pantai dan pulau, tanah tinggi, warisan budaya serta pengalaman gastronomi tempatan.
“Kadar purata tempoh penginapan tertinggi di Malaysia yang dicatatkan oleh Negeri Pahang menunjukkan respons amat positif terhadap peningkatan kedatangan pelancong ke negeri ini.
“Pada tahun 2025, jumlah kedatangan pelancong domestik dan antarabangsa mencatatkan sebanyak 15.28 juta orang. Kita juga optimis untuk mencapai sasaran 15.5 juta pelancong bagi tahun ini,” katanya.
Tambah beliau, lima daerah dicatat merekodkan prestasi kedatangan pelancong paling memberangsangkan di negeri ini iaitu Bentong, Kuantan,nCameron Highlands, Temerloh dan Rompin.
“Destinasi popular seperti Genting Highlands, Pulau Tioman, Cameron Highlands, Taman Negara dan Bandaraya Kuantan terus menjadi tarikan utama serta kekal relevan dalam peta pelancongan negara, dengan peningkatan jumlah pengunjung dari semasa ke semasa.
“Kejayaan ini turut didorong oleh pelbagai usaha promosi berterusan, penganjuran acara pelancongan berskala besar, kerjasama strategik bersama pemain industri serta komitmen Kerajaan Negeri dalam memperkukuh sektor pelancongan sebagai antara pemacu ekonomi utama Pahang,” katanya.
Pahang diyakini akan terus melakar prestasi cemerlang serta memperkukuh kedudukannya sebagai destinasi pilihan utama di Malaysia berdasarkan kelebihan produk pelancongan yang pelbagai dan bertaraf dunia. -PAHANGMEDIA

