Oleh : Norhafizan Zulkifli & Ummul Qistina Sofea
Foto : Farizul Hafiz Awang
KUANTAN, 21 APRIL 2026 : Kerajaan Negeri Pahang memandang serius isu bantut dalam kalangan kanak-kanak di negeri ini dengan mempergiat usaha kesedaran kepada masyarakat dengan menyasarkan penurunan kadar peratusan.
Pengerusi Jawatankuasa Kerja Raya, Pengangkutan dan Kesihatan Negeri Pahang, YB. Dato’ Ir. Razali Kassim, tempoh 1,000 hari bermula dari dalam kandungan sehingga usia dua tahun itu amat penting dalam memastikan perkembangan fizikal dan mental kanak-kanak berada pada tahap optimum.
Katanya, Kerajaan Negeri sentiasa menyokong inisiatif yang digerakkan oleh institusi pendidikan, agensi kerajaan dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dalam meningkatkan tahap kesihatan rakyat.

“Mana-mana jabatan ataupun institusi yang ada kemahiran dari segi kepakaran dalam bidang ini, bersama-sama kita memastikan rakyat negeri Pahang ini dapat hidup ataupun lahir dalam keadaan yang sempurnalah.
“Dan kita nak pastikan statistik yang sebelum ni kita tahu Pahang antara negeri tertinggi kanak-kanak yang bantut, jadi ini sebahagian usaha kitalah untuk memastikan bahawa kadar bantut negeri Pahang ni menurun ataupun tak ada lagi (sifar) yang bantut,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas merasmikan Program Diskusi Ilmiah bertajuk 1000 Hari Pertama: Melakar Generasi Unggul di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) Kampus Kuantan, di sini hari ini.
Hadir sama, Pengarah Jabatan Agama Islam Pahang (JAIP), YH. Dato’ Haji Ahmad Khirrizal Ab Rahman; Pengerusi Majlis Kebangsaan Pertubuhan Wanita Malaysia (NCWO), YH. Dato’ Sri Maznah Mazlan; Dekan Kuliah Kejururawatan UIAM, Profesor Madya Dr. Muhammad Kamil Che Hasan; serta ketua-ketua jabatan terlibat.

Menyentuh tentang program berkenaan katanya, ia dianjurkan bagi memberi penekanan kepada ibu bapa tentang kepentingan mejaga nutrisi dan perkembangan anak dalam tempoh 1,000 hari pertama kehidupan.
“Jadi ini adalah tempoh yang paling penting yang ibu bapa kena tahu, kena ada ilmu bagaimana untuk kita memastikan anak dari dalam kandungan, kemudian lahir, dapat bekalan makanan yang baik dan berkualiti,” ujarnya.
Tambanya lagi, kerjasama strategik dan usaha berterusan melibatkan pelbagai pihak amat penting bagi memastikan mesej kesedaran dapat disampaikan secara berkesan kepada masyarakat.
“Terima kasih kepada pihak UIAM termasuk daripada JAIP yang turut bekerjasama, daripada badan bukan kerajaan (NGO), daripada NCWO, daripada LPPKN (Lembaga Penduduk dan Pembangunan Keluarga Negara) dan banyak lagilah yang terlibat sama ada secara langsung atau tidak langsung,” katanya lagi. -PAHANGMEDIA

