Oleh : Norhafizan Zulkifli
Foto : Farizul Hafiz Awang
KUANTAN, 18 APRIL 2026 : Pahang memiliki potensi besar dalam membangunkan industri hab halal khususnya dalam menghadapi cabaran ketidaktentuan ekonomi global ketika ini.
Timbalan Menteri Ekonomi, YB. Dato’ Indera Mohd Shahar Abdullah berkata, negeri ini juga mempunyai peluang besar dalam industri hab halal dengan memanfaatkan sepenuhnya pembangunan Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) yang dijangka siap menjelang 2027.
“Sudah pasti segala pelabur dan peniaga di peringkat antarabangsa melihat kawasan-kawasan yang strategik yang boleh dikurangkan risiko krisis pada masa akan datang dan Pahang dan Pantai Timur kena bersiap sedia bukan sahaja dari segi ketersediaan bakat tapi juga ketersediaan infrastruktur.

“Namun Pahang dan Pantai Timur kena mengambil pendekatan yang lebih agresif untuk memanfaatkan logistik yang akan tersedia pada 2027 iaitu ECRL,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas menyampaikan ucapan dasar dalam program ‘Driving Malaysia’s Halal Economy Through Policy Synergy and Global Partnerships’ dalam program Pahang International East Coast Entrepreneurial Summit (PIECES) 2026 sempena Malaysia East Coast Trade and Entrepreneur Expo 2026 di Hotel Grand Darul Makmur di sini hari ini.
Hadir sama, Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal FELDA, Koperasi dan Usahawan Negeri Pahang, YB. Dato’ Amizar Abu Adam.

Katanya, jaringan ECRL akan menghubungkan Pelabuhan Kuantan dengan Pelabuhan Klang sekali gus membuka laluan logistik alternatif bagi mengurangkan kebergantungan kepada laluan sibuk seperti Selat Melaka dan Selat Singapura.
“Jadi disebabkan Pelabuhan Kuantan dan Pelabuhan Klang dapat dihubungkan dengan ECRL ini, kerana fasiliti dah ada, yang sekarang ini adalah industri mesti dibangunkan secepat mungkin,” ujarnya.
Dalam pada itu, beliau memaklumkan bahawa Pahang kini sudah mempunyai asas kukuh dalam industri hab halal menerusi pembangunan beberapa taman industri strategik termasuk kawasan industri halal di Gebeng, Gambang dan Bentong yang dilihat berpotensi besar untuk dimanfaatkan secara optimum.
“Jadi taman industri ini patut kita gunakan untuk kita ‘leverage’ peluang yang ada. Perkara pokoknya adalah kita mesti agresif.
“Jangan biarkan ruang yang ada ini tidak dimanfaatkan oleh anak-anak tempatan dan usahawan-usahawan tempatan,” katanya lagi. -PAHANGMEDIA

