Oleh : Ain Nadhirah Basha
Foto : Farizul Hafiz Awang
KUANTAN, 01 APRIL 2026 : Kerajaan Negeri Pahang melahirkan penghargaan kepada ibu bapa dan para pendidik yang bersama-sama membantu Pahang berada di kedudukan kedua terbaik bagi Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2025.
Menurut YAB. Menteri Besar Pahang, Dato’ Sri Diraja Haji Wan Rosdy Wan Ismail, Kerajaan Negeri juga akan terus memberi sokongan dan dokongan dalam memastikan bidang pendidikan di negeri ini berada dalam keadaan terbaik.
“Tahniah kepada anak-anak Pahang yang berjaya mendapat straight A. Tahniah Negeri Pahang menduduki tempat pertama berbanding dengan negeri-negeri lain, tolak Putrajaya. Maahad Tahfiz Turath kita masih mengungguli tempat pertama. Saya harap ini dapat dikekalkan.
“Syabas dan tahniah kepada semua yang terlibat dengan langsung dan tak langsung. Terutama kepada ibu bapa, anak-anak semua, dan para guru Jabatan Pendidikan Pahang daripada pengarah sampai ke bawah.
“Kejayaan ini adalah kejayaan bersama. Dan kita seperti biasa Kerajaan Negeri akan terus memberi sokongan dan dokongan supaya anak-anak kita mendapat belajar dengan penuh disiplin,” katanya.
Tambah beliau, Kerajaan Negeri Pahang juga akan mempertimbangkan pemberian insentif kepada para pelajar yang mendapat keputusan yang cemerlang.
“Kita dah bagi buku rujukan SPM. Yang lain akan dipertimbangkan. Kita akan pertimbangkan kemudian. Kita dah belanja banyak, hampir RM4 juta untuk pendidikan di Negeri Pahang. Kerajaan Negeri akan terus memberi sokongan,” katanya.
Pahang menduduki tempat kedua selepas Putrajaya dalam Gred Purata Negeri (GPN) dengan 4.08 mata pada peperiksaan SPM 2025 berbanding 4.23 mata pada tahun 2024. -PAHANGMEDIA

