KUANTAN, 31 MAC 2026 : Negeri Pahang mencatatkan pencapaian membanggakan dalam keputusan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2025 apabila muncul sebagai negeri kedua terbaik di peringkat nasional.
YAB Menteri Besar Pahang, Dato’ Sri Diraja Haji Wan Rosdy Wan Ismail berkata, kejayaan tersebut mencerminkan hasil usaha berterusan serta komitmen padu semua pihak dalam memperkasakan sektor pendidikan negeri.
“Alhamdulillah, kita bersyukur dengan pencapaian ini. Pahang berjaya mencatatkan Gred Purata Negeri (GPN) 4.08, mengatasi Gred Purata Kebangsaan (GPK) 4.42, sekali gus meletakkan negeri ini di kedudukan kedua terbaik di Malaysia,” katanya dalam satu kenyataan media hari ini.
Menurut beliau, daripada 21,043 calon yang mendaftar bagi menduduki SPM 2025, sebanyak 96.52 peratus berjaya memperoleh keputusan Layak Sijil, manakala 671 calon pula mencatat keputusan cemerlang dengan memperoleh A dalam semua mata pelajaran.
Tambahnya, kecemerlangan turut ditonjolkan oleh sekolah-sekolah di bawah kelolaan negeri termasuk pencapaian luar biasa yang ditunjukkan Maahad Tahfiz Turath Negeri Pahang yang berjaya mencatatkan Gred Purata Sekolah (GPS) 0.60, selain Maahad Tahfiz Negeri Pahang yang terus mengekalkan kecemerlangannya dengan GPS 1.06
“Sebanyak 12 buah sekolah mencatat sekurang-kurangnya GPS 2.30, dengan tiga sekolah mencapai GPS 2.00 iaitu Sekolah Menengah Kebangsaan Abdul Rahman Talib, Kuantan; Sekolah Menengah Kebangsaan Seri Tualang, Temerloh dan Sekolah Menengah Kebangsaan Sultanah Hajah Kalsom, Kuantan,” katanya.
Selain itu, antara sekolah lain yang turut mencatatkan prestasi cemerlang termasuk Maahad Tahfiz Darul Ulum Al-Basriyah, Kuantan; Sekolah Menengah Agama Al Maarif, Kuantan; Sekolah Menengah Sains Sultan Haji Ahmad Shah, Kuantan; Sekolah Menengah Kebangsaan Agama Tengku Ampuan Hajjah Afzan, Jerantut serta Sekolah Menengah Sains Tengku Abdullah, Raub.
Dari segi pencapaian daerah, Pekan dan Kuantan masing-masing mencatatkan Gred Purata Daerah (GPD) 3.89, manakala Lipis mencatat GPD 3.93.
Mengulas lanjut, beliau berkata kejayaan tersebut merupakan hasil pelbagai inisiatif Kerajaan Negeri Pahang termasuk penyediaan buku rujukan, buku latihan serta kit persekolahan bagi memastikan pelajar mendapat akses pendidikan yang berkualiti.
“Kerajaan Negeri akan terus menjadikan pendidikan sebagai agenda utama pembangunan negeri selaras dengan Aspirasi Pahang 1st, kerana pendidikan adalah asas penting dalam membina masa depan yang gemilang,” katanya.
Beliau turut merakamkan penghargaan kepada semua pihak termasuk pelajar, guru, ibu bapa, pentadbir sekolah serta agensi berkaitan seperti Jabatan Pendidikan Negeri Pahang, Jabatan Agama Islam Pahang dan Yayasan Pahang atas peranan besar dalam kejayaan tersebut. – PAHANGMEDIA

